Semalam seorang kakitangan teknikal dimasukkan ke Hospital Kajang kerana disyakki menghidap demam denggi.
Aku sempat menziarahinya di sebelah petang. Inilah kali pertama aku menjejaki di hospital tersebut.
Ketika sampai, aku melihat dia terbaring di atas katil yang terletak di hujung kaki katil yang kosong. Terdapat lapan buah katil di kelas tiga di posisi biasa manakala dua buah katil tambahan, termasuklah katilnya di posisi melintang - posisi yang menyebabkan ruang lalu lalang menjadi sempit.
Ketika itu juga makan malam dihidangkan - nasi putih, sayur dan ikan goreng. Oleh kerana tiada meja disediakan untuk meletak dulang makanan, aku pun menarik meja di katil yang kosong tersebut untuk dibawa ke katil beliau. Agak sukar juga menarik meja tersebut kerana keadaan yang sempit.
Hairan juga rasanya kerana katil itu dibiarkan kosong. Mengapa perlu katil tambahan? Mengapa beliau tidak diberikan katil tersebut?
Lantas aku terus berjumpa dengan jururawat bertugas untuk meminta ditukar ke kelas dua. Beliau memaklumkan dari jumlah enam buah katil di kelas dua, cuma satu sahaja yang kosong. Untuk ditempatkan ke kelas dua, pihak hospital perlukan GL dari majikan.
Aku bertanyakan di mana wad kelas dua tersebut. Beliau memaklumkan kelas dua itu di mana staf aku sedang duduk. Aku maklumkan terdapat lapan buah katil di tempat itu sedangkan kelas dua ada enam. Beliau menjelaskan sebenarnya katil nombor satu hingga enam adalah kelas dua manakala tujuh dan lapan termasuk katil tambahan adalah kelas tiga. Jadi kalau 'upgrade' ke kelas dua pun masih berada di ruang yang sama, cuma tukar nombor katil sahaja. Itu macam ka?
Walau bagaimana pun aku tidak dapat menyediakan GL kerana tidak mempunyai rujukan dengan pihak kementerian.
Tengahari tadi aku kembali ke hospital tersebut. Waktu ini juga keadaan agak sesak dengan pelawat. Staf aku telah dipindahkan ke katil lain, tapi ruang lalu lalang juga.
Aku sempat juga melihat seorang pesakit yang diiringi oleh empat orang anggota jabatan penjara. Takut juga rasanya di dalam suasana yang sempit, banduan tersebut akan cuba mengambil kesempatan.
Aku pernah mendengar Hospital Kajang akan ditutup apabila Hospital Serdang beroperasi sepenuhnya. Kalau benar, mungkin ini akan menyukarkan penduduk Kajang, khususnya mereka yang tidak mempunyai kenderaan sendiri, untuk mendapatkan rawatan.
Aku berharap Hospital Kajang ini tidak akan ditutup. Malah ianya patut terus beroperasi dengan memberi kemudahan yang lebih baik daripada sekarang. Dengan beroperasinya Hospital Serdang, kemungkinan ramai yang akan mendapatkan rawatan di sana dan secara tidak langsung tiada lagi kesesakan berlaku di Hospital Kajang seperti apa yang berlaku sekarang.
No comments:
Post a Comment