KANGAR: Kejadian guru diserang pelajar lelaki sering dilaporkan, tetapi di sebuah sekolah menengah di sini, pelajar perempuan pula menjadikan seorang guru wanita sebagai sasaran berikutan tidak berpuas hati ditegur lewat menghantar tugasan sekolah.
Mulanya, guru itu, Azahana Ibrahim, 27, yang mengajar subjek Fizik menegur seorang pelajar perempuan tingkatan dua di kelas kira-kira jam 10 pagi kerana dia bukan saja lewat menghantar tugasan sekolah, tetapi turut menulis tulisan ‘gila babi’ di belakang kertas folionya.
Azahana yang terkejut dengan perbuatan pelajar terbabit lalu bertanya, tulisan yang kasar itu ditujukan kepada siapa.
Pelajar itu kemudian mengakui ia ditujukan kepada guru berkenaan.
“Saya bertanya kepada pelajar itu siapa yang menulis perkataan berkenaan dan dia mengaku menulisnya lalu saya memarahinya. Bagaimanapun, dia melawan dan cuba merampas folio itu.
“Berikutan itu, berlaku tarik menarik dan dia menolak saya menyebabkan saya membalas tolakannya. Dengan ditemani seorang rakan sekelas, pelajar itu terus menendang perut saya berulang kali.
“Selepas melihat mereka memanggil lima lagi rakan, saya yang bimbang kejadian lebih buruk berlaku bergegas menyelamatkan diri dan mendapatkan pertolongan guru lain di bilik guru,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar di sini.
Azahana mendakwa dipukul pelajar perempuan tingkatan dua itu kerana marah ditegur lewat menghantar tugasan sekolah.
Selepas menendang beberapa kali di perutnya, kata guru itu, mereka masih tidak berpuas hati lalu keluar dari kelas untuk memanggil lima rakan lagi, termasuk pelajar lelaki.
Menurut mangsa, kejadian itu pengalaman paling menakutkannya sejak lima tahun terbabit dalam kerjaya perguruan, tambahan pula orang yang memukulnya pelajar sendiri.
“Saya bimbang keselamatan diri dan jika boleh tidak mahu menghebohkan kejadian itu kerana bimbang pelajar terbabit akan bertindak lebih agresif kerana mempunyai ramai kawan,” katanya.
Kejadian itu turut dirakam menggunakan kamera video telefon bimbit milik seorang pelajar di kelas terbabit.
Menerusi rakaman terbabit jelas menunjukkan berlaku pertengkaran antara Azahana dan pelajar berkenaan disusuli tindakan pelajar itu menendang perutnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Mohd Yusof Diah, ketika dihubungi mengesahkan laporan dibuat mangsa kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada tindakan mangsa menegur seorang pelajar perempuan tingkatan dua berhubung kelewatannya menghantar tugasan sekolah.
“Pelajar terbabit tidak dapat menerima teguran sehingga menyebabkan berlaku kekalutan sebelum mangsa ditendang dua atau tiga kali pada perut.
“Sehingga kini, kes berkenaan masih disiasat dan diklasifikasikan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan,” katanya.
Pengarah Jabatan Pelajaran Perlis, Mansor Lat, pula bergegas ke sekolah terbabit bagi mendapat maklumat kejadian serta mengadakan perjumpaan dengan guru berkenaan.
Apa dah jadi dengan disiplin para pelajar sekarang? Dalam kes ini melibatkan para pelajar perempuan pula.
Teringat masa dulu ketika isteri menjadi guru sandaran di sebuah sekolah rendah. Dia menegur seorang murid tahun 4 atau 5 kerana tidak membuat kerja sekolah. Teguran tersebut tidak dapat diterima oleh murid tersebut lalu mengugut isteri yang dia hendak bakar rumah kami! Ketika itu kami tidak menghiraukan sangat ugutan tersebut dan Alhamdulillah, tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
No comments:
Post a Comment