Wednesday, October 29, 2008

Catatan 27 Oktober 2008

Hari Isnin, 27 Oktober 2008 merupakan cuti umum bersempena dengan Hari Deepavali. Kami mengambil kesempatan di hari cuti tersebut dengan menziarahi rakan-rakan di Shah Alam.

Rumah pertama di rumah rakan lama yang sama-sama menuntut di luar negara. Rumahnya yang terletak di Seksyen 8 juga turut dikunjungi oleh rakan-rakan lain. Hampir 20 tahun kami berpisah dan tidak pernah berhubung antara satu sama lain. Andaikata kalau berjumpa di mana-mana, sudah pasti tidak bertegur sapa memandangkan wajah serta bentuk tubuh badan agak berlaianan. Ramai yang terperanjat melihat aku sebab dulu agak kurus kering.

Kini masing-masing sudah berkeluarga dan anak-anak pun sudah besar. Kebanyakannya sedang menuntut di universiti.

Kemudian kami ke seorang lagi kenalan orang rumah...tak ingat di seksyen berapa, tapi di kuarters bomba. Mereka berkenalan melalui sebuah stesen radio IKIM.fm, iaitu stesen radio yang dikendalikan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Oleh kerana isteri aku nak sangat jumpa seorang juruhebah yang dikenali sebagai DJ Ani, kami pun menunggu sehingga jam 5:30 petang. DJ Ani muncul akhirnya dan disambut oleh tuan rumah serta rakan-rakan yang lain. Ketika DJ Ani muncul di pintu rumah, aku agak terperanjat kerana DJ Ani yang selalu disebut itu pernah bekerja di syarikat yang sama 12 tahun yang lalu di Pusat Bandar Damansara. Kak Ani, panggilan yang biasa disebut semasa di sana, pun agak terperanjat melihat aku. Kami terus bertanya khabar serta berbual tentang kisah lama semasa berada di tempat kerja lama.

Oleh kerana dah agak lewat, kami terpaksa mengundur diri kerana ada jemputan di Bangi pula. Di Bangi ini pula adalah kenalan lama juga yang sama-sama menuntut dahulu.

No comments: