Sunday, October 26, 2008

Catatan 25 Oktober 2008

Alhamdulillah, setelah berbulan lamanya bertungkus lumus menyiapkan projek 'Variable Message Signs' (VMS), akhirnya pada 23 Oktober lepas, produk kami ini berjaya melepasi ujian yang dilakukan oleh konsultan serta pelanggan. VMS merupakan paparan elektronik yang memaparkan mesej serta 'pictogram' mengenai maklumat trafik untuk pengguna lebuhraya/jalanraya utama. Ianya akan dipasang di dua lokasi berhampiran terowong Genting Sempah di Lebuhraya KL-Karak.

Maka pada hari ini, VMS dihantar ke kilang membuat gantri terlebih dahulu bagi memastikan ianya boleh dipasang di atas gantri tanpa menghadapi sebarang masalah.

Selaku pengurus projek, aku telah memanggil beberapa orang kakitangan untuk membalut VMS tersebut bagi mengelak berlakunya kerosakan ketika dihantar ke kilang tersebut. Dijangkakan kerja-kerja membalut dilakukan di sebelah petang hari Jumaat. Namun ada sedikit masalah dengan sistem tersebut dan dijangka akan dilakukan selepas Maghrib. Setelah menunggu sehingga jam 12:00 tengah malam, masalah tersebut masih tidak dapat diselesaikan.

Setelah berbincang dengan bahagian teknikal, ianya akan dapat diselesaikan dalam tempoh beberapa jam lagi. Jadi kami mengambil keputusan untuk pulang ke rumah dan akan kembali keesokan paginya (Sabtu) di sekitar jam 7:30 pagi.

Maka pada pagi ini, kerja-kerja untuk membalut VMS dilakukan bermula jam 8:00 pagi.



Kira-kira jam 10:00 pagi, kerja-kerja mengeluarkan dua unit VMS dari premis mula dilakukan oleh pihak 'mover' yang memang profesional dalam bidang ini. Secara kasarnya, ianya bukanlah suatu kerja yang mudah untuk dilakukan bagi mereka yang tidak berpengalaman.





Kira-kira jam 12:30 tengahari barulah kerja-kerja memunggah keluar dan diangkut ke atas trak selesai dalam keadaan suasana yang mencabar seperti lantai yang tidak rata serta sempit.
Setelah makan tengahari, aku bersama seorang kakitangan terus ke kilang gantri tersebut di Bukit Kemuning.

Setibanya di kilang tersebut, kerja-kerja memunggah keluar VMS baru dimulakan. Ianya agak mudah sedikit memandangkan kilang tersebut mempunyai kemudahan seperti 'overhead crane'.





Syukurlah...misi memindahkan dua unit VMS dari premis kami di Kajang ke kilang gantri di Bukit Kemuning berjaya dilaksanakan tanpa sebarang insiden.

Kini kami sedang menunggu pula tarikh memasang sistem VMS yang dijangkakan pertengahan bulan November nanti.

No comments: