Sunday, February 21, 2010

Banyak Peristiwa Penting Berlaku Hari Jumaat


Kira-kira sebulan yang lalu, aku berkesempatan mendengar kuliah subuh di salah sebuah masjid di pinggir Kuala Lumpur. Kuliah tersebut berkisar tentang adab-adab di hari Jumaat.

Ketika menyampaikan kuliah tersebut, ustaz berkenaan sempat juga menceritakan ketika beliau berbual dengan seorang imam ketika singgah di salah sebuah masjid di Perak untuk menunaikan solat. Imam masjid berkenaan menceritakan banyak peristiwa penting yang berlaku pada hari Jumaat.

Di antaranya termasuklah Hari Raya Korban (Jumaat, 27 November 2009), gerhana matahari yang lepas jatuh pada hari Jumaat (tidak pasti tarikhnya), Awal Muharram (Jumaat, 18 Disember 2009) serta Maulidur Rasul yang akan disambut pada hari Jumaat ini, 26 Februari 2010.

Imam berkenaan memaklumkan ini adalah petanda kiamat akan berlaku dalam tempoh terdekat. Namun ustaz berkenaan tidak pasti sama ada terdapat hadis yang berkaitan dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku serta kaitannya dengan hari kiamat. Mungkin ini adalah secara kebetulan sahaja.

Aku teringat pernah menerima emel yang berkaitan dengan peristiwa penting yang jatuh pada hari Jumaat. Namun aku tak dapat membaca dengan sepenuhnya kerana terlalu banyak emel yang perlu disemak dalam 'inbox'. Rasanya dah pun ter'delete'.

Dalam pada itu, aku cuba mencari artikel berkenaan peristiwa-peristiwa penting ini melalui internet. Beberapa blog lain yang sempat dibaca juga menambah selain dari peristiwa-peristiwa yang aku nyatakan di atas, termasuklah hari Krismas (Jumaat, 25 Disember 2009), Tahun Baru (Jumaat, 01 Januari 2010), Hari Wesak (Jumaat, 28 Mei 2010), Nuzul Quran (Jumaat, 27 Ogos 2010), Hari Raya Aidilfitri (Jumaat, 10 September 2010) dan akhir sekali Hari Deepavali (Jumaat, 05 November 2010).

Wah..! Tak sangka ada yang sanggup meninjau kalendar masa depan hari-hari kebesaran yang akan berlaku untuk menguatkan hujjah. Dari sudut positifnya, memang digalakkan untuk mengingati antara satu sama lain tentang kematian, hari pembalasan dan sebagainya.

Namun peristiwa-peristiwa yang dinyatakan tersebut tiada kaitan dengan tanda-tanda ketibaan hari Kiamat. Islam telah menggariskan beberapa tanda-tanda hampirnya Kiamat, sama ada tanda kecil atau pun tanda besar.

Tanda-tanda kecil Kiamat telah banyak dan mungkin kesemuanya telahpun berlaku. Cuma tanda-tanda besar ada yang telah berlaku dan ada yang belum terjadi seperti kejadian terbitnya matahari dari ufuk barat dan terbenam di ufuk timur. Hayatilah tanda-tanda Kiamat seperti anjuran Islam itu terlebih baik daripada menghubungkaitkan segala peristiwa dan tarikh-tarikh dengan kedatangan hari Kiamat.

Persoalan Kiamat, kematian, kehidupan, rezeki, jodoh pertemuan, qada dan qadar serta segala yang berkaitan dengan alam ghaib adalah kerja Allah. Dia tidak meminta hamba-hambaNya mencampuri urusanNya itu kerana ada amanah lain yang mampu dilakukan, yang perlu dan sepatutnya dilakukan.

Yang pastinya, Kiamat akan berlaku pada hari Jumaat seperti yang terdapat dalam sebuah hadis: Daripada Abu Hurairah ra, bahawa RasuluLLah SAW telah bersabda (yang bererti) “Sebaik-baik hari yang terbit matahari padanya adalah hari Jumaat. Pada hari itulah Adam dicipta, pada waktu itu juga ia dimasukkan dalam syurga dan waktu itu juga dia dikeluarkan daripadanya. Hari kiamat tidak akan terjadi kecuali pada hari Jumaat.” (Hadith Riwayat Muslim, Abu Daud, Nasa’i serta Tirmidzi yang mengesahkannya).

Wallahualam.

Wednesday, February 3, 2010

Jejantas Udara Menara Berkembar Petronas




Walau pun telah beberapa kali menjejakkan kaki di KLCC, namun inilah kali pertama kami berpeluang untuk mengunjungi Jejantas Udara (Skybridge) yang terletak di tingkat 41, Menara Berkembar Petronas.

Menurut wikipedia, jejantas ini terletak 170 meter dari paras tanah dan panjangnya 58 meter dan beratnya 750,000 kg. Jejantas ini terbuka kepada orang ramai, asalkan mendapat tiket percuma yang diberi mengikut resmi siapa dulu dia dapat (terhad kepada 1700 orang sehari).

Ketika tiba di tingkat bawah menara untuk mendapatkan tiket masuk (tiada bayaran dikenakan) kira jam 10:05 pagi pada Ahad lepas, kami tiga beranak cuma boleh masuk ke jejantas tersebut pada jam 3:15 petang memandangkan ianya telah pun penuh. Kami mengambil keputusan untuk mengunjungi Petrosains terlebih dahulu sebelum menaiki jejantas tersebut.

Jam 3:00 petang, kami mula memasuki pintu masuk untuk melihat tayangan video terlebih dahulu. Sebelum menaiki lif ke tingkat 41, kami diperiksa oleh kakitangan keselamatan seperti yang terdapat di KLIA. Sepanjang perjalanan dalam lif ke tingkat 41, kami diberi taklimat oleh kakitangan yang bertugas tentang jejantas udara ini serta dibenarkan berada di sana hanya 10 minit sahaja.

Kalau terlambat, tiket habis...


Pemandangan dari dalam jejantas udara...


Azri dan Kakcik...


Taman KLCC


Salah satu pemandangan dari jejantas udara


Azri begitu asyik melihat gambar-gambar...


Kakcik sedang mengambil gambar...

Monday, January 4, 2010

Catatan 04 Januari 2010

Hari ini merupakan hari pertama persekolahan tahun 2010.

Jam 7:00 pagi aku sudah pun berada di Sekolah Kebangsaan Seri Kundang bersama anak bongsu ku, Ahmad Azri.

Segala urusan pendaftaran telah pun dilakukan pada hari orientasi murid tahun satu hari Sabtu sebelum itu.

Walau pun tinggal di Bandar Tasik Puteri yang telah pun mempunyai dua buah sekolah kebangsaan, namun Azri terpaksa ditempatkan di sekolah ini memandangkan ianya terletak di hadapan SMK Seri Kundang - tempat di mana ibunya mengajar. Jadi mudah Azri diawasi oleh ibunya.

Kakcik pula telah menamatkan persekolahannya di sini dan kini di Tingkatan Satu di SMK Seri Kundang.

Azri kelihatan tenang sahaja ketika memasuki perkarangan sekolah..tidak menunjukkan riaksi gembira atau takut dalam suasana alam persekolahan. Belum lagi bersua dengan rakan-rakan lama ketika di Pasti tahun lepas.

Sesi persekolahan bermula dengan perhimpunan di dataran sekolah terlebih dahulu sebelum dibawa masuk ke kelas masing-masing. Ucapan guru di perhimpunan tidak lama apabila hujan mulai turun...murid-murid pun bergegas keluar dari dataran menuju ke kelas sambil diawasi oleh guru.

Aku menunggu sehingga waktu rehat pada jam 10:10 pagi. Azri tidak membeli makanan kerana telah dibekalkan biskut kegemarannya - chipsmore. Aku cuma belikannya air sirap sahaja. Pada ketika itu juga aku baru sedar aku tak pernah mengajarnya menggunakan duit untuk membeli. Setiap kali apabila dia inginkan sesuatu, aku sendiri yang terus membayarnya tanpa pernah memikirkan Azri perlu belajar untuk berdikari.

Sesi persekolahan berakhir pada jam 1:00 tengahari. Azri dibawa ke sekolah ibunya untuk makan tengahari dan menukar pakaian seragamnya.

Kemudian aku pula mengambilnya dan menghantar ke Sekolah Rendah Agama An-Nur yang terletak kurang setengah kilometer dari sekolah kebangsaan.

Pada hari pertama di sekolah agama ini tertumpu kepada urusan pembayaran yuran sekolah serta pembelian buku teks, latihan dan sebagainya.

Oleh kerana guru sibuk berurusan dengan ibubapa, murid-murid termasuk Azri bebas keluar masuk kelas. Beliau hanya bermain keseorangan sahaja kerana belum lagi mendapat kawan baru.

Kelas berakhir pada jam 5:30 petang..

Azri pulang dalam keadaan ceria sekali di hari pertama di sekolah kebangsaan dan sekolah agama.