Wednesday, December 9, 2009

e-Jenazah: Urusan Jenazah Yang Dikomersialkan?


Ahad lepas sempat juga aku berkunjung ke Karnival Jom Heboh TV3 di Bukit Jalil. Antara gerai yang menarik perhatian aku adalah gerai e-Jenazah. Terperanjat juga kerana tidak pernah mendengar tentang e-Jenazah ini. Aku terus ke gerai tersebut bagi mendapat keterangan lanjut.

e-Jenazah merupakan suatu sistem pengurusan jenazah sistematik yang berlandaskan hukum syarak. Ianya dimiliki oleh syarikat Anjung Urus Jenazah Sdn Bhd yang beralamat di Sg Nibong, Pulau Pinang. Buat masa ini ianya beroperasi di sebelah utara sahaja. Kedatangan syarikat ini ke Kuala Lumpur adalah untuk menjalankan kaji selidik tentang sambutan orang ramai di Lembah Klang mengenai e-Jenazah.

Menurut seorang wakil syarikat, apabila berlakunya kematian, waris akan menghubungi 'call centre' untuk melaksanakan pengurusan jenazah. Antara perkhidmatan yang disediakan termasuklah urusan pengangkutan jenazah, dokumentasi, memandi dan mengkafan jenazah, solat serta pengkebumian. Selain daripada itu, sebaran berita kematian melalui SMS juga disediakan.

Aku rasa perkhidmatan sebegini mungkin sesuai bagi mereka yang tinggal di kawasan yang terpencil serta tidak mempunyai badan khairat kematian. Atau mungkin sesuai bagi mereka yang tidak bergaul dengan masyarakat setempat walau pun tinggal berhampiran masjid/surau.

Untuk keterangan lanjut, sila layari http://www.ejenazah.com.