Monday, October 6, 2008

Catatan Hari Raya

01 Oktober 2008
Hari ini 1 Syawal...umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Pagi ini aku menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau As Siddiqin, Bandar Tasik Puteri, Rawang.
Kalau di tahun-tahun lepas surau ini akan padat hingga di luar, tapi pada hari raya ini agak berbeza sedikit. Boleh dikatakan jumlah yang ada sudah pun memenuhi di ruang solat. Mungkin disebabkan dengan adanya Masjid Bandar Tasik Puteri yang telah dibuka, jadi ramai yang ambil kesempatan untuk melakukan solat sunat Aidilfitri di sana.
Selepas solat, seperti biasa kami berkumpul sekeluarga di rumah untuk bermaaf-maafan antara satu sama lain. Maklumlah, sebagai manusia, kita memang tidak dapat lari dari melakukan salah dan silap.
Kemudian, kami terus ke rumah mertua di Ampang. Cuma ibu mertua, adik ipar serta keluarga dan abang ipar sahaja yang ada di sana.
Kami kembali ke rumah di sebelah petang.
02 Oktober 2008
Pagi ini, kami bersiap ke kampung halaman ku di Batu Gajah, Perak.
Sepanjang perjalanan di Lebuhraya PLUS, tiada kesesakan berlaku walau pun banyak kenderaan. Aku memandu sekitar 90-100 km/j. Kami exit di Gopeng dan terus ke Batu Gajah.
Kami melepasi Kellie's Castle yang menjadikan daya tarikan di Batu Gajah. Namun, aku sendiri belum pernah menjejak kaki di situ. Aku teringat semasa zaman sekolah, ibu ku pernah menceritakan yang beliau serta rakan-rakan pernah berbasikal menuju ke sana. Menurut ibu ku, dahulu ianya dikenali sebagai Gopeng Castle.
Semua adik-beradik ku sudah pun berada di rumah orang tua kami. Jarang sekali kami dapat berkumpul bersama. Maklumlah, masing-masing sudah bekerja serta berumahtangga, kecuali seorang adik perempuan ku.
Aku adalah anak kedua daripada tujuh orang adik beradik. Kakak ku tinggal di Keramat, KL. Aku pula di Rawang. Yang ketiga, perempuan, tinggal di Taiping. Yang ke empat, lelaki, dan ke enam, perempuan, tinggal di Sarikei. Yang ke lima, perempuan, tinggal di Ipoh dan yang bongsu, perempuan, tinggal di Bandar Sri Permaisuri, KL.
Di sebelah petang, aku ke Kampung Pasir untuk majlis tahlil arwah di rumah arwah nenek. Hampir kesemua adik beradik di sebelah ayah ku turut bersama di majlis tersebut.
Di sebelah malam pula, beberapa orang saudara mara datang menziarahi kami di rumah.
03 Oktober 2008
Pagi ini kami sekeluarga menziarahi ibu saudara di sebelah emak di Kampung Bendera.
Beliau tinggal keseorangan sejak kematian anak sulong beberapa tahun lalu. Sebelum ini, rumah ini juga didiami oleh arwah atuk dan opah.
Ibu saudara ku ini telah lama bercerai ketika anak-anaknya seramai tiga orang masih kecil. Akibat dari perceraian, beliau cuma membela anak yang sulong sementara dua lagi dibela oleh ayah mereka.
Ketika aku sampai, rumah tersebut kelihatan begitu uzur sekali. Rumah sebelah kiri yang sebelum ini disewakan kepada orang lain pun kelihatan lagi teruk, sementara yang sebelah kanan pula telah lama dirobohkan.
Kawasan halaman di depan rumah pun sudah sempit. Ini adalah disebabkan projek landasan berkembar KTMB yang terpaksa mengambil sebahagian daripada kawasan halaman.
Aku masih teringat ketika masih kecil lagi...setiap kali mendengar wisel keretapi, aku akan segera ke halaman depan untuk melihat dan melambai ke arah keretapi yang berlalu. Namun, aku tak berani mendekati landasan keretapi kerana takut mendengar bunyi wisel keretapi yang kuat. Selepas keretapi keretapi berlalu, barulah aku berani berdiri di tengah-tengah landasan keretapi...dan seperti biasa, aku akan dimarahi selepas itu kerana berdiri di tengah-tengah landasan tersebut.
Hmm...tu sebahagian daripada kisah lama...
Setelah menziarahi ibu saudara ku, kami terus menuju ke Taiping...rumah adik ku di Pokok Assam Tambahan. Walau pun sudah beberapa kali ke sana, aku masih lagi tidak ingat laluan ke sana...setiap kali ke sana, mesti aku telefon beberapa kali untuk direction.
Dari Taiping, kami ke Simpang Pulai...rumah kakak ipar tiri yang aku panggil Kak Zah. Suaminya, Abang Karim, mempunyai ikat keluarga dengan ibu ku. Kak Zah adalah seibu dengan isteri ku.
Oh ya...seperti biasa, kami akan singgah di Gurab...di mana isteri ku gemar membeli pasu dan bunga.
04 Oktober 2008
Pagi ini kami bertolak ke Rawang.
Sebelum tu, kami menghantar anak sulung kami ke rumah sewanya di Fair Park, Ipoh. Beliau kini mengikuti pengajian MBBS di RCMP, UniKL di tahun kedua.
Kami terus memasuki Lebuhraya PLUS menuju ke Rawang. Suasana di sepanjang lebuhraya kelihatan penuh dengan kenderaan menuju ke arah selatan. Cuma 2-3 kali berlaku kesesakan. Aku memandu sekitar 90-110 km/j...namun 2-3 kali dalam 120 km/j untuk memotong kenderaan lain. Boleh dikatakan hampir kesemua kenderaan dipandu dalam had laju yang dibenarkan...mungkin ada juga yang dalam lingkungan 120 km/j...namun aku perasan cuma hanya sebuah kereta Merz yang dipandu melebihi 150 km/j!
Sebelum tiba di Tanjung Malim, aku terpaksa meminta isteri ku pula memandu...ngantuk pulak rasanya..tapi aku tak pulak terlelap ketika isteri ku memandu.
Alhamdulillah, kami selamat tiba di rumah sebelum jam 12:00 tengahari...aku terus je tidur di atas sofa...

No comments: