Thursday, September 4, 2008

Catatan 31 Ogos 2008

Pagi tu, aku berdua dengan anak ketiga, Kakcik, bersiap untuk menyaksikan perarakan Hari Merdeka ke 51 di Kuala Lumpur. Isteri dan anak-anak yang lain tidak ikut serta kerana tidak berminat dengan acara perarakan hari kemerdekaan ini.

Walau pun menyedari tangki minyak sudah menunjukkan hampir habis, aku terus juga memandu kerana yakin balik nanti sempat juga mengisi minyak. Lagi pun, aku tak mahu lewat tiba di Kuala Lumpur.
Setibanya di stesen komuter Rawang, aku terus ke kaunter tiket. Ketika menyeluk poket untuk mengeluarkan wang, baru aku sedar yang aku terlupa membawa dompet! Oleh kerana dompet itu mengandungi kad pengenalan, lesen memandu serta wang tunai, terpaksalah juga pulang ke rumah untuk mengambil dompet. Setelah kembali ke rumah, aku terus ambil dompet dan bergegas ke stesen Rawang. Namun, aku terpaksa juga berhenti untuk mengisi minyak kerana takut tak tersangkut di tengah jalan pulak nanti.

Di stesen komuter Rawang, kelihatan ramai juga yang datang bersama keluarga dengan tujuan yang sama..untuk menyaksikan perarakan Hari Merdeka.

Jam 8:05 pagi, tren mula meninggalkan stesen Rawang dengan perjalanan agak perlahan. Selain daripada warga Malaysia, terdapat juga warga asing yang memenuhi tren tersebut.

Kami serta kebanyakan penumpang turun di hentian Bank Negara dan terus menuju ke Jalan Raja Laut. Sempat jugak aku membeli sedikit makanan untuk mengalas perut kami berdua yang belum sempat menjamah sarapan.

Lebih kurang 10 minit menunggu, akhirnya perarakan pun bermula dengan pancaragam dari tentera darat. Kakcik merasa amat seronok melihat perarakan tersebut kerana inilah kali pertama melihat acara ini secara 'live'.

Sempat jugak aku merakam beberapa keping gambar walau pun ada jugak yang agak kabur, terutama sekali gambar pesawat yang terbang di udara. Namun, ada sekeping gambar yang mana ada seorang personaliti sukan yang diambil secara tak sengaja...iaitu Datuk Lee Chong Wei, yang memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Beijing baru-baru ini.


Setelah selesai acara perarakan, kami menaiki komuter menuju ke KL Sentral. Kakcik yang teringinkan cheese burger mengajak aku ke McDonald's. Namun ketika itu cuma sarapan sahaja yang disediakan. Terpaksalah kami berdua makan bubur nasi dan milo ais. Kemudian kami terus pulang ke Rawang.


Walau pun kepenatan, namun aku amat berpuas hati kerana dapat meluangkan masa bersama dengan Kakcik.

No comments: