Tuesday, September 16, 2008

Berbuka Puasa @ Awana Genting Highlands Golf & Country Resort

Alhamdulillah, dapat makan free lagi.
Pada hari Jumaat lepas, aku menghadiri mesyuarat bersama sub kontraktor, konsultan serta pelanggan di Genting Sempah pada jam 3:30 petang. Sebelum tu, aku agak sibuk dengan discussion dengan pelanggan di Taman Desa, Kuala Lumpur di sebelah tengahari. Aku berhajat hendak menunaikan solat Jumaat di Taman Desa sahaja memandangkan hari pun dah tengahari...boleh rehat sekejap sebelum bertolak ke Genting Sempah.
Tiba-tiba sahaja ada panggilan dari pembekal yang sudah berada di bengkel kami. Dia memaklumkan ada sedikit masalah dengan produk kami. Oleh kerana bos aku sibuk dan rakan lain pula sibuk dengan tugasan lain, aku pun terpaksa bergegas pulang ke Kajang. Lebih kurang jam 12:45 tengahari, baru aku tiba dan terus berbincang dengan pembekal tersebut. Setelah dapat menyelesaikan masalah, aku pun terus bergegas ke surau Saujana Impian untuk solat Jumaat. Pada ketika itu, khatib baru sahaja memulakan khutbah pertama.
Setelah selesai solat Jumaat, aku pulang semula ke pejabat apabila menyedari aku tertinggal fail. Setelah mencapai fail, aku pun terus memandu ke Genting Sempah dengan keadaan agak sesak sedikit di MRR2.
Walau pun tiba jam 3:30 petang, namun mesyuarat hanya bermula setelah hampir semua hadir pada jam 4:00 petang. Nasib baik tiada banyak komen dari pelanggan mau pun konsultan tentang bahagian yang membabitkan bahagian kami.
Mesyuarat selesai jam 6:30 petang dan aku terus menunaikan solat Asar. Lepas itu, kontraktor utama menjemput kami untuk berbuka puasa di Awana. Pada mulanya, aku agak keberatan nak menerima pelawaan tersebut kerana aku lebih suka balik terus ke Kajang. Namun, aku pun bersetuju akhirnya kerana hendak menjaga hati kontraktor utama..maklumlah ini adalah projek sulung dengan syarikat tersebut.
Aku yang ditemani oleh seorang rakan sub kontraktor (dia takut nak pandu seorang mendaki bukit ke Awana) terus memandu ke Awana. Oleh kerana aku pun tak biasa, aku pun memandu agak perlahan di jalan yang berliku itu. Namun, aku perhatikan banyak kereta mewah yang dipandu laju..maklumlah, diorang tu dah biasa dengan kawasan tu.
Setelah tiba, kami terus ke salah sebuah restoran di hotel tersebut..tak ingat namanya. Sempat juga aku lihat harga buffet Ramadhan yang ditawarkan...RM50.00++ untuk dewasa dan RM25.00++ untuk kanak-kanak. Aku secara peribadi tidaklah berhajat sangat makan di situ dengan harga tersebut. Biasanya makan malam bersama keluarga di restoran biasa pun tak sampai RM40.00! Oh ya..salah satu menu yang menarik perhatian aku adalah sup buntut!..apa dia sup buntut? Kemudian, rakan aku sendiri yang beritahu yang sup buntut itu adalah sup ekor!...oh i see:)
Setelah selesai menikmati juadah berbuka puasa serta sedikit perbincangan, aku beredar kira-kira jam 9:50 malam (asalnya nak stay sampai pukul 8:30 malam) dan menghantar rakan tadi ke kawasan rehat Genting Sempah sebelum bertolak ke Kajang.

No comments: