Setiap tahun pihak pengurusan syarikat mengadakan majlis berbuka puasa untuk kakitangan. Majlis tersebut diadakan semalam, Rabu, 10 September 2008 di Impian Golf & Country Club (IGCC) di Kajang.
Tengahari sebelum itu, aku berkunjung ke tempat tersebut untuk buat tempahan dan bayaran untuk 17 dewasa dan seorang kanak-kanak. Harga buffet Ramadhan adalah RM27.00 nett untuk ahli dan RM35.00 nett untuk bukan ahli. Oleh kerana aku bukan ahli, pihak IGCC mengesyorkan aku membeli voucher buffet Ramadhan bernilai RM27.00 setiap satu yang dijual dalam satu buku yang mengandungi 10 helai voucher. Jadi jumlah yang dibayar adalah RM27.00 x 2 buku x 10 helai voucher = RM540.00. Dua orang kanak-kanak berkongsi satu voucher. Jadi ada baki dua helai voucher yang boleh digunakan pada bila-bila masa di sepanjang bulan Ramadhan ini.
Kalau aku bayar dengan harga bukan ahli, jumlah yang dikenakan adalah RM35.00 x 17 dewasa + RM17.50 x 1 kanak-kanak = RM612.50. Jadi, aku dah jimat sebanyak RM612.50 - RM540.00 = RM72.50! Jimat tu..!
Oleh kerana sibuk dengan 'site visit' di Bangi serta berjumpa dengan pembekal di Seksyen 16, Shah Alam pada petang tu, aku lah orang terakhir tiba di coffee house IGCC. Ketika itu, kakitangan aku serta para tetamu lain sedang menikmati juadah berbuka puasa. Aku ambil keputusan untuk minum segelas air oren serta sedikit buah-buahan sebelum pergi ke surau untuk solat Maghrib.
Setelah selesai solat, aku terus ke coffee house untuk berbuka dengan juadah yang berat sikit. Alamak! Nasi sudah habis! Menurut kakitangan coffee house, nasi akan disediakan dalam tempoh 20 minit lagi. Kecewa juga rasanya kerana tak dapat makan nasi. Aku terus ambil kueh teow goreng dan segelas air sementara menunggu nasi. Dalam masa yang sama, terdengar juga rungutan para tetamu lain kerana ketiadaan nasi.
Setelah lama menunggu, akhirnya nasi pun dihidangkan. Malangnya, lauk pauk pula banyak yang habis! Rasa macam tiada selera pula nak makan nasi. Namun, aku ambil juga nasi dengan telur itik masak lemak serta sedikit daging...sayur pun dah habis.
Aku tetap bersyukur dengan rezeki yang ada...ingatlah, ada juga insan lain yang sukar mencari sesuap nasi.
Lebih kurang jam 8:30 malam, aku pun meninggalkan coffee house menuju ke tempat letak kereta. Alamak...antenna kereta pula dicuri orang!
No comments:
Post a Comment