Berbuka puasa di luar lagi...tapi kali ini kena bayar!!
Alhamdulillah, pada hari Sabtu lepas, aku bersama Kakcik dan Azri menghadiri majlis berbuka puasa bersama dengan rakan forumers VirtualFriends.net bertempat di Restoran Haslam, Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur. Bayaran yang dikenakan adalah RM33.00 untuk dewasa, RM16.00 untuk kanak-kanak di bawah 11 tahun dan percuma untuk bawah 7 tahun.
Kami tiba di restoran milik Datuk Yusof Haslam kira-kira jam 6:30 petang. Majlis telah pun bermula dengan memperkenalkan setiap ahli virtual friends. Aku cuma mengenali beberapa ahli berdasarkan kepada gambar-gambar yang sering dipaparkan di dalam forum tersebut serta pernah berjumpa dengan mereka sewaktu majlis berbuka puasa pada tahun lepas.
Walau pun keahlian virtual friends ini melebihi 100,000 orang, tetapi tidak sampai 100 orang termasuk pasangan serta ahli keluarga yang hadir di majlis tersebut. Turut hadir di majlis tersebut termasuklah webmaster serta isteri.
Sebelum masuk waktu berbuka puasa, kami pun segera mengambil makanan terlebih dahulu. Keadaan yang sempit menyebabkan aku cuma mengambil air sahaja terlebih dahulu. Aku ambilkan mee rebus untuk Kakcik dan Azri cuma mahukan buah-buahan yang masa tu cuma tinggal sedikit sahaja. Namun, bila keadaan dah 'clear', barulah aku mengambil nasi, perut masak cili api, sayur dan daging.
Dewan Cempaka yang terletak di tingkat atas restoran ini nampak agak sempit untuk majlis kami. Orang luar juga turut serta makan di dewan makan ini. Selain dari kuih-muih, nasi dan lauk-pauk, terdapat juga laksa dan mee rebus. Namun, mangkuk yang disediakan untuk mee rebus dan laksa terlalu kecil. Surau pula dikongsi bersama lelaki dan perempuan. Sehinggalah jam 8:00 malam barulah aku dapat menunaikan solat Maghrib apabila sudah surau itu sudah kosong.
Sebelum majlis berakhir, acara bertukar kad raya bermula. Aku yang hampir lupa pasal nak beli kad raya ni, terpaksa menggunakan kad raya yang aku ambil dari pejabat.
Sebelum berpisah, kami bergambar beramai-ramai di ruang yang agak terhad. Entah siapalah yang gambarnya tidak dimuatkan walau pun dah posing habis-habisan.
No comments:
Post a Comment