Thursday, July 17, 2008

Ucapan Terima Kasih Untuk Kakitangan IKIM


Kami sekeluarga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua kakitangan IKIM yang telah memberi pertolongan kepada kami yang ketika itu mengalami masalah dengan kenderaan kami.

Pada 13 Julai 2008 yang lepas, kami sekeluarga menghadiri Malam Aspirasi Seni Muzik Islami sempena Ulangtahun ke-7 Radio IKIM.fm di Institut Kefahaman Islam Malaysia, Jalan Duta. Antara artis-artis jemputan termasuklah Rabbani, Nazrey Johani, Akil Hayy, Saujana, NowSeeHeart dan Far East. Walau bagaimana pun, kami terpaksa pulang awal kerana pada keesokan harinya anak-anak saya akan bersekolah.

Anak kedua kami yang terlebih dulu sampai ke Nissan Serena terus menghidupkan enjin. Tetapi beberapa minit kemudian, enjin tersebut berbunyi semakin perlahan dan terus mati. Apabila kami sampai dan dimaklumkan tentang perkara tersebut, saya terus menghidupkan enjin. Malangnya, enjin tersebut gagal dihidupkan.

Dengan pertolongan seorang kenalan, kami menolak van tersebut dengan harapan enjinnya boleh dihidupkan, tetapi gagal juga dihidupkan. Gelagat kami mendapat perhatian beberapa kakitangan IKIM yang kebetulan bertugas sempena dengan majlis tersebut.

Mereka turut serta membantu kami. Melihat keadaan van tersebut, kami mengesyaki ianya berpunca dengan masalah bateri. Ini adalah kerana bateri tersebut telah digunakan lebih dari setahun.

Pening juga memimikirkan di mana hendak mencari bateri van di waktu malam hari Ahad. Maklumlah, di waktu tersebut boleh dikatakan semua bengkel kenderaan sudah tutup. Namun teringat pula mungkin ianya dijual di mana-mana stesen minyak.

Dengan pertolongan salah seorang petugas IKIM, saya telah dibawa ke stesen minyak Shell di Segambut. Alhamdulillah, nasib baik ada bateri yang sesuai untuk van kami. Bateri tersebut dijual dengan harga RM200.00! Walau pun mahal, namun terpaksa juga membelinya kerana memikirkan keselamatan dan keselesaan anak-anak dan isteri tersayang.

Setelah memasang bateri baru tersebut, enjin dapat dihidupkan. Syukur Alhamdulillah...kami dapat juga kembali ke rumah dengan selamatnya sebelum tengah malam.

Kepada petugas IKIM yang cuma dikenali sebagai Encik Man, Encik Ghani serta lain-lain yang tidak sempat bertanyakan nama, kami sekeluarga ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas segala pertolongan yang diberikan tanpa mengenal penat lelah. Begitu juga kepada seorang kenalan, Encik Jamal, suami kepada Mama Zana. Jasa anda semua akan tetap kami kenang. Hanya Allah sahaja yang membalas segala pertolongan yang diberikan kepada kami.

No comments: