Antara beberapa peristiwa penting yang berlaku di bulan Rejab...
1. Hijrah Pertama
Hijrah ke Habsyah (Ethiopia) - pihak musyrikin Makkah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Rasulullah SAW pada ketika itu. Ada di antara kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah. Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untuk mencari tempat baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Di antara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Othman RA dan isterinya Roqiyah. Jumlah mereka adalah seramai 14 orang termasuk empat orang wanita. Habsyah dipilih kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.
2. Peristiwa Isra' dan Mi'raj
Isra' dan Mi'raj bererti perjalanan Rasulullah SAW dari Makkah ke Baitulmaqdis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu dengan Allah SWT dan untuk mengambil kewajiban solat lima waktu dari Allah SWT. Dalam menentukan tarikh bila berlakunya peristiwa ini, sebahagian ulamak mengatakan pada 27 Rabiul Akhir; sebahagian ulamak mengatakan 17 Rabiul Awal; sebahagian ulamak mengatakan 29 Ramadhan; sebahagian ulamak mengatakan pada 27 Rejab dan sebahagian ulamak yang lain mengatakan pada tanggal-tanggal yang selain dari yang tersebut.
3. Perang Tabuk
Tabuk mengambil nama sempena dengan nama satu tempat di utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah SAW dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tiada berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi berbagai kesukaran.
4. Pembebasan Baitulmaqdis
Baitulmaqdis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA ketika di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan umat Islam di zaman pemerintahan Abbassiyah, umat Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitulmaqdis dan akhirnya dapat menawan kota suci tersebut setelah 500 tahun dikuasai pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitulmaqdis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salahuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitulmaqdis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H, umat Yahudi pula menawan Baitulmaqdis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.
5. Lahirnya Imam Syafie RH
Nama sebenar Imam Syafie RH ialah Muhammad Bin Idris. Beliau dilahirkan di Ghuzah, Palestin pada bulan Rejab tahun 150H bersamaan 767 Masehi. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Feqah. Di antara peninggalan Imam Syafie RH yang tiada ternilai harganya dan menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab al-Umm.
No comments:
Post a Comment