Setelah bercuti hampir dua bulan, anak sulung kami Abdul Salam (Along), kembali ke Ipoh hari ini untuk meneruskan pengajiannya dalam program MBBS di UniKL Royal College of Medicine Perak. Walau pun beliau telah membeli tiket bas Mara Liner dari Puduraya, namun untuk mengelak dari ketinggalan bas akibat dari kesesakan jalanraya di sekitar Kuala Lumpur, kami mengambil keputusan untuk menghantarnya ke hentian bas di Jalan Duta.
Antara yang paling seronok sekali bila dibawa berjalan sudah tentu anak bongsu kami, Ahmad Azri yang akan mencapai usia lima tahun pada 16 Julai ini. Dia amat seronok sekali apabila melihat kenderaan besar seperti bas, treler, traktor, lori tangki minyak dan sebagainya. Pernah juga aku menguji dia bila terlihat sebuah bas di hadapan kami. Apabila aku kata ada lori di hadapan, anak aku dengan segera beritahu yang itu adalah bas, bukannya lori.
Setelah menunggu hampir setengah jam, akhirnya bas Mara Liner pun muncul di hentian bas Jalan Duta. Setelah bersalaman dengan kami, Along terus menaiki bas tanpa menoleh belakang. Azri yang sebelum ini begitu ceria sekali tiba-tiba sahaja kelihatan sedih dan muram. Tidak pasti apa yang membuatnya kelihatan berubah...adakah kerana abangnya tidak melambai tangan ke arahnya, atau dia sendiri ingin menaiki bas tersebut. Puas kami pujuk, akhirnya dia ceria kembali...itu pun setelah ibunya, Sal, berjanji untuk belikan dia sebuah bas mainan.
Kemudian kami teruskan perjalanan menuju ke pusat membeli-belah Sogo di Jalan Raja Laut. Sebenarnya, aku bukannya suka sangat pergi membeli-belah, lebih-lebih lagi di pusat bandar Kuala Lumpur. Setelah menurunkan mereka di belakang Kompleks Pertama, aku terus meletakkan kenderaan di tempat letak kereta yang terletak di antara bangunan DBKL dan stesen LRT. Aku tidak pula melihat caj letak kereta tersebut kerana menganggap tidaklah mahal sangat...tak sampai RM10 kot!
Setelah berjumpa semula dengan mereka di Sogo, kami pun berpecah...aku dengan Azri menuju ke bahagian permainan manakala Sal dan anak-anak lain pergi ke bahagian pakaian. Lebih kurang 15-20 minit mencari barang permainan yang dikehendaki, barulah Azri memilih dan aku terus membayar. Kemudian, aku menelefon Sal untuk ajak makan dan solat zohor. Namun, taliannya gagal dihubungi...seolah-olah berada di luar kawasan. Lima minit kemudian, masih gagal juga menghubungi dia.
Tiba-tiba Sal muncul dalam keadaan cemas...kedua-dua telefon bimbit yang disimpan dalam beg telah dicuri. Ianya disimpan di dalam poket berzip beg tersebut. Mungkin pencuri ternampak Sal menyimpan telefon bimbit di dalam poket tersebut. Pencuri telah mengambil kesempatan di dalam kesibukan orang ramai membeli belah di tingkat bawah untuk mencuri.
Aku terus menghubungi Maxis dan Celcom untuk menyekat panggilan menggunakan kad SIM tersebut. Kemudian aku terus ke bahagian khidmat pelanggan untuk membuat laporan. Aku dimaklumkan sudah ada kejadian kecurian telefon bimbit pada hari yang sama, tetapi di tingkat yang berlainan. Pihak khidmat pelanggan berjanji akan hubungi kami sekiranya menjumpai telefon bimbit tersebut.
Kami bersyukur kerana hanya kehilangan telefon bimbit dan tidak melibatkan keselamatan kami sekeluarga. Dan bila aku keluar dari tempat letak kereta, caj yang dikenakan adalah RM17.50!...adus mahalnya...!!!
No comments:
Post a Comment