Friday, July 4, 2008

Fadhilat Bulan Rejab

Bersempena dengan bulan Rejab yang jatuh pada hari ini, berikut adalah satu artikel yang merupakan soal jawab yang dipetik dari laman web Persatuan Ulamak Malaysia Online untuk renungan kita bersama:

Bulan rejab adalah salah satu daripada bulan-bulan yang haram selain Muharram, Zulhijjah dan Zulkaedah (Tafsir Al-Jalalain). "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa." (Surah al-Taubah:36)

Fadhilat Rejab berada bersama dengan fadhilat bulan-bulan haram yang lain. Fadhilat Rejab secara umumnya berada di dalam fadhilat bulan-bulan Haram sebagaimana Firman Allah di dalam ayat di atas dan terdapat juga Hadis Sahihin mengenai Hijatul Wada', di dalamnya dinyatakan nama bulan bulan tersebut, iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram, dan yang tunggal ialah Rejab. Di masa itu orang Islam ditegah melakukan kezaliman, peperangan dan juga dilarang melakukan maksiat kepada Allah SWT.

Adapun tentang kenyataan-kenyataan yang menyatakan fadhilat bulan Rejab secara khusus dan amalan-amalan padanya adalah disandarkan kepada riwayat-riwayat yang maudhuk (palsu) dan dha'if jiddan (terlalu lemah). Antaranya ialah hadis; "Rejab bulan Allah, Sya`aban bulanku dan Ramadhan bulan umatku". Ini adalah hadith palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha`if, m.s. 95, cetakan: Maktab al-Matbu`at al-Islamiyyah, Halab, Syria). Nama penuhnya Ibn Jahdam ialah `Ali bin `Abdillah bin Jahdam al-Zahid. Beliau meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadith palsu mengenai solat Raghaib (iaitu solat pada jumaat pertama bulan Rejab). (lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-`Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5, m.s. 173, cetakan: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut). Dan banyak lagi.

Juga boleh rujuk kepada beberapa kitab besar serta muktabar dan mencari bab tentang hal ini seperti Fathul Mu'in dalam pembicaraan sampingan, al-Iqna' , atau kitab-kitab Imam Al-Zahabi dan sebagainya.

Walau bagaimanapun di sana terdapat beberapa amalan yang dinyatakan oleh ulamak besar berdasarkan sunnah seperti,

1. Shiekh Mahmud Al-Sya'rawi di dalam menjawab satu pertanyaan mengenai apakan bulan dari bulan-bulan am yang afdal manusia berpuasa selepas bulan Ramadan. Beliau memetik hadis berikut diriwayatkan oleh Musnad Ahmad : "Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah SAW, katanya : Bulan mana kamu perintahkanku berpuasa selepas Ramadan? Maka Rasulullah SAW berkata : Jika aku berpuasa selepas Ramadan, maka berpuasalah di bulan Haram, maka sesungguhnya di dalamnya dari Taubat Allah SW ke atas satu kaum, dan terdapat taubat di dalamnya untuk satu kaum yang lain".

2. Dr Wahbah Zuhaily mengatakan bahawa kebanyakan imam empat mazhab (Syafiie, Hanbali, Maliki dan Hanafi) bersetuju mengenai terdapatnya amalan berpuasa sunat di dalam bulan-bulan haram ini, cuma ia berbeza pendapat mengenai cara implementasinya. Menurut Dr Wahbah Zuhaily : "Keutamaan berpuasa pada bulan-bulan ini terdapat di sisi Mazhab Maliki dan Syafiie, dan mazhab Hanbali berpuas hati dengan keputusan sendirinya memberi keutamaan berpuasa di bulan Haram, pada mereka itulah puasa yg afdal selepas Ramadan, telah bersabda Rasulullah SAW : Seafdal solat ialah pertengahan malam, dan seafdal puasa selepas bulan Ramadan ialah di bulan Allah Al-Haram). Seafdal puasa d ibulan haram ialah Hari Al-Asyura', sebagaimana di antaranya.

WaLlahu A'lam.

No comments: