Showing posts with label Personal. Show all posts
Showing posts with label Personal. Show all posts

Tuesday, May 1, 2012

Umrah & Ziarah: Medinah (Bhg I)


Ahad, 25 Mac 2012
Kira-kira jam 4:30 pagi, kami keluar dari terminal lapangan terbang Medinah dan terus menuju ke arah bas yang sedang menunggu kami.  Pada ketika itu, waktu subuh adalah kira-kira jam 5:00 pagi dan solat subuh berjemaah di Masjid Nabawi kira-kira setengah jam kemudian.
Kami tiba di Hotel Sofraa al Huda kira-kira jam 5:10 pagi untuk check-in.  Namun dimaklumkan kami akan check-out selepas makan tengahari memandangkan hotel tersebut telah penuh untuk malam-malam yang berikut dan terpaksa menginap di hotel sebelah.
Oleh kerana rakan sebilik demam, aku mengambil keputusan untuk solat subuh di hotel kerana ingin menemaninya kerana takut beliau mungkin perlukan bantuan.
Setelah sarapan pagi, berehat seketika di bilik dan tidak dapat bersama jemaah lain akan menziarahi makam Rasulullah SAW serta perkuburan Baqi'.  Sebaliknya selepas rehat sebentar, aku terus keluar mencari kedai farmasi untuk mendapatkan ubat yang dipanggil 'Flutab' seperti yang disyorkan oleh wakil syarikat pelancongan.  Walau bagaimana pun, kesihatan beliau tidak menentu - sekejap pulih, sekejap sakit - mungkin disebabkan faktor cuaca di sini.
Selepas makan tengahari, kami berpindah ke Royal Dyar Hotel pula.
Sepanjang hari ini tiada sebarang aktiviti yang dilakukan - hanya ditumpukan kepada ibadah sahaja.
Untuk pengetahuan, waktu zohor ketika ini adalah lebih kurang jam 12:30 tengahari, asar jam 3:55 petang, maghrib pada jam 6:35 petang manakala isyak lebih kurang jam 8:05 malam.

Isnin, 26 Mac 2012
Pagi ini berziarah di sekitar Medinah seperti Masjid Quba', ladang & pasar tamar serta Uhud.



Masjid Quba'




Masjid Quba'
 


Pasar Tamar
 


Pasar Tamar
 



Bukit yang menempatkan pasukan pemanah tentera Islam sewaktu Perang Uhud
 


Tanah perkuburan para syuhada di Uhud
 


Monday, April 30, 2012

Umrah & Ziarah: Perjalanan ke Medinah

Sabtu, 24 Mac 2012
Tiba di KLIA pada kira-kira jam 4:00 petang.
Aku terus ke kaunter 'check-in' Emirates dan berjumpa dengan wakil dari syarikat pelancongan untuk menyerahkan bagasi.
Jam 5:30 petang, taklimat ringkas oleh wakil syarikat.  Pasport serta boarding pas dikembalikan kepada semua jemaah seramai 24 orang.
Jam 6:30 petang, aku pun bersama rakan sekerja yang turut pergi bersama dalam rombongan ini terus menuju ke kaunter imigresen dan seterusnya ke balai berlepas.
Jam 7:15 malam, kami telah pun memasuki ke dalam pesawat Emirates Boeing 777.  Sempat juga aku menghubungi ibu ku serta menghantar SMS kepada isteri serta rakan-rakan sebelum pesawat mula bergerak meninggalkan KLIA kira-kira setengah jam selepas itu.



Penerbangan EK347 dari Kuala Lumpur ke Dubai mengambil masa hampir 7 jam.
Tiba di Dubai kira-kira jam 10:30 malam waktu tempatan (jam 2:30 pagi waktu Kuala Lumpur).
Rasa keletihan dan mengantuk ketika menjejak di lapangan terbang Dubai.  Maklumlah, tak dapat tidur dengan nyenyak sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur.  Lagi pun, sekarang dah pukul 2:30 pagi waktu Kuala Lumpur. 
Kami terus ke boarding gate yang ditetapkan untuk penerbangan seterusnya ke Jeddah.   Jauh juga berjalan kaki dari arrival gate ke boarding gate - mungkin antara 200 - 300 meter. 
Ada juga salah seorang ahli rombongan mengambil kesempatan membeli-belah di kedai bebas cukai.  Aku tersenyum bila melihat gelagatnya yang sudah mula membeli-belah di Dubai.  Di Medinah dan Makkah nanti, mungkin banyak lagi barang yang akan dibelinya.




Ahad, 25 Mac 2012
Pesawat EK807 Airbus A330 berlepas dari Dubai pada jam 1:15 pagi (waktu Dubai) dan tiba di Medinah pada jam 3:00 pagi (waktu Medinah).
Kira-kira setengah jam sebelum mendarat, kelihatan seorang pramugari sedang melayan seorang penumpang di hadapan ku.  Penumpang tersebut sedang membeli barang yang dijual di dalam pesawat. Pramugari tersebut kelihatan agak sukar melakukan transaksi kad kredit - mungkin ada masalah komunikasi dengan pusat kad kredit.  Namun akhirnya berjaya juga transaksi tersebut.  Hati kecil ku tertanya-tanya siapakah gerangan penumpang tersebut yang membeli ketika pesawat sedang menghampiri Medinah.  Baru aku sedar penumpang tersebut rupanya salah seorang jemaah kami yang juga orang sama membeli-belah di Dubai.
Setelah selesai urusan imigresen di lapangan terbang Medinah, kami disambut oleh wakil syarikat pelancongan dan dibawa ke hotel di Medinah dengan bas.

Friday, April 13, 2012

Umrah & Ziarah: Persiapan Sebelum Berangkat




Sebelum berangkat ke Tanah Suci, kena buat persiapan dahulu bagi melancarkan perjalanan.

Tiga minggu sebelum berangkat, aku dah pun menyerahkan pasport antarabangsa bersama gambar mengikut saiz yang dikehendaki oleh pihak kedutaan Arab Saudi bagi mendapatkan visa umrah. Sebelum tu, aku dah pun semak pasport tu masih sah lakunya. Biasanya tempoh sah laku pasport hendaklah sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum tarikh tamat tempoh.

Selain daripada itu, buku rekod kesihatan mengenai suntikan 'meningitis' hendaklah diserahkan bersama. Malangnya, aku tak sempat menyerahkan bersama memandangkan beberapa klinik yang dihubungi tidak mempunyai stok. Dan ada pula yang cajnya agak mahal, iatu dari RM160 hingga hampir RM200. Akhirnya, dapat juga mendapat suntikan tersebut di sebuah klinik di Jalan Semenyih, Kajang dengan caj RM119 sahaja. Buku rekod kemudiannya diserahkan kepada agensi yang menguruskan umrah.

Walau pun pernah menunaikan ibadah umrah sebanyak 3 kali sebelum ini, tidaklah bermakna aku dah mahir dalam hal mengerjakan ibadah umrah ini. Oleh itu, aku pun mengikuti kursus umrah yang dianjurkan agensi pelancongan tersebut. Banyak juga yang dapat aku pelajari di sepanjang kursus tersebut.

Seminggu sebelum berlepas, ayah ku meminjamkan 2 pasang kain ihramnya serta tali pinggang kepada ku. Alhamdulillah, tak perlu beli baru. Namun aku cuma membawa sepasang saja memandangkan bukannya lama sangat berada di Makkah. Lagi pun sepasang tu sahaja memakan ruang yang banyak dalam beg.

Dua hari sebelum berangkat, aku menukarkan wang ringgit kepada riyal iaitu sebanyak RM420 kepada SAR500. Ini bermakna kadar tukaran bagi membeli Saudi Riyal adalah SAR100 bersamaan dengan MYR84 pada ketika itu. Bagi diri ku, wang sebanyak SAR500 adalah memadai untuk perbelanjaan sepanjang masa berada di sana nanti. Kalau tak cukup, bawa juga beberapa ratus ringgit Malaysia - mana tau kot ada keperluan lain pula.

Dan akhir sekali, ubat-ubatan seperti panadol dan minyak angin. Dan jangan lupa selipar bagi memudahkan keluar-masuk masjid.

Sekarang tunggu masa untuk berangkat je...


Sunday, April 8, 2012

Catatan 08 April 2012

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Syukur alhamdulillah, dapat bersua kembali di blog yang telah ditinggalkan. Rupa-rupanya dah lebih dua tahun aku tak update blog ini. Mengapa ya? Mungkin disebabkan begitu sibuk dengan tugas harian di pejabat dan seringkali pulang lewat, maka tiada kesempatan untuk update blog ini. Lagi pun, dah tak ada bahan untuk dipaparkan. Kalau ada kesempatan pun cuma layan facebook je sekarang. Oh ya...kalau ada sesiapa yang ada akaun facebook, harap sudi add saya di amir_my2001@yahoo.com atau Amir Mohd Amin.

Alhamdulillah, aku baru sahaja kembali ke tanah air pada hari Khamis, 05 April 2012, setelah menjalani ibadah umrah serta ziarah di kota suci Makkah dan Medinah hampir dua minggu. InsyaAllah, bila ada kesempatan, akan ku ceritakan pengalaman ku selama berada di sana serta akan dimuatkan gambar-gambar untuk dikongsi bersama.

InsyaAllah, jumpa lagi nanti...Wassalamualaikum...:)

Monday, January 4, 2010

Catatan 04 Januari 2010

Hari ini merupakan hari pertama persekolahan tahun 2010.

Jam 7:00 pagi aku sudah pun berada di Sekolah Kebangsaan Seri Kundang bersama anak bongsu ku, Ahmad Azri.

Segala urusan pendaftaran telah pun dilakukan pada hari orientasi murid tahun satu hari Sabtu sebelum itu.

Walau pun tinggal di Bandar Tasik Puteri yang telah pun mempunyai dua buah sekolah kebangsaan, namun Azri terpaksa ditempatkan di sekolah ini memandangkan ianya terletak di hadapan SMK Seri Kundang - tempat di mana ibunya mengajar. Jadi mudah Azri diawasi oleh ibunya.

Kakcik pula telah menamatkan persekolahannya di sini dan kini di Tingkatan Satu di SMK Seri Kundang.

Azri kelihatan tenang sahaja ketika memasuki perkarangan sekolah..tidak menunjukkan riaksi gembira atau takut dalam suasana alam persekolahan. Belum lagi bersua dengan rakan-rakan lama ketika di Pasti tahun lepas.

Sesi persekolahan bermula dengan perhimpunan di dataran sekolah terlebih dahulu sebelum dibawa masuk ke kelas masing-masing. Ucapan guru di perhimpunan tidak lama apabila hujan mulai turun...murid-murid pun bergegas keluar dari dataran menuju ke kelas sambil diawasi oleh guru.

Aku menunggu sehingga waktu rehat pada jam 10:10 pagi. Azri tidak membeli makanan kerana telah dibekalkan biskut kegemarannya - chipsmore. Aku cuma belikannya air sirap sahaja. Pada ketika itu juga aku baru sedar aku tak pernah mengajarnya menggunakan duit untuk membeli. Setiap kali apabila dia inginkan sesuatu, aku sendiri yang terus membayarnya tanpa pernah memikirkan Azri perlu belajar untuk berdikari.

Sesi persekolahan berakhir pada jam 1:00 tengahari. Azri dibawa ke sekolah ibunya untuk makan tengahari dan menukar pakaian seragamnya.

Kemudian aku pula mengambilnya dan menghantar ke Sekolah Rendah Agama An-Nur yang terletak kurang setengah kilometer dari sekolah kebangsaan.

Pada hari pertama di sekolah agama ini tertumpu kepada urusan pembayaran yuran sekolah serta pembelian buku teks, latihan dan sebagainya.

Oleh kerana guru sibuk berurusan dengan ibubapa, murid-murid termasuk Azri bebas keluar masuk kelas. Beliau hanya bermain keseorangan sahaja kerana belum lagi mendapat kawan baru.

Kelas berakhir pada jam 5:30 petang..

Azri pulang dalam keadaan ceria sekali di hari pertama di sekolah kebangsaan dan sekolah agama.

Wednesday, November 25, 2009

Keputusan UPSR 2009: Tahniah Kakcik


Tahniah buat Kakcik yang mendapat keputusan 5A di dalam Peperiksaan UPSR 2009 yang diumumkan pada minggu lepas. Alhamdulillah...abah bersyukur dengan kejayaan Kakcik.

Abah hampir terlupa tentang keputusan UPSR di pagi itu kerana kesibukan dengan kerja. Apabila abah terdengar bunyi henfon serta tertera nama Kakcik, abah tahu Kakcik hendak sampaikan khabar gembira. Maklumlah, selama ini kalau nak telefon abah, sudah tentu Kakcik buat 'miss call' sahaja.

Abah berdoa semoga Kakcik akan beroleh kejayaan yang lebih cemerlang di masa yang akan datang...Amin.

Wednesday, August 12, 2009

Catatan 12 Ogos 2009

Sudah sekian lama aku tidak update blog ini.

Sejak hujung bulan Mei lepas, aku agak sibuk dengan kerja-kerja tender yang pertama kali diperolehi secara terus. Insya Allah, projek ini akan siap hujung Oktober nanti.

Tidak ada banyak catatan yang hendak di’update’kan diblog ini, kecuali berkaitan dengan influenza A(H1N1).

Hari Isnin minggu lepas, apabila pagi tu Azri demam, aku dah mula panik. Walau pun dia berkeadaan demam biasa, aku terpaksa berwaspada. Aku mengambil keputusan untuk mengambil cuti kecemasan untuk menjaga dia. Alhamdulillah, beliau sihat menjelang tengahari.

Di sebelah petang, Angah yang sedang menuntut di UiTM Kedah, menelefon. Dia demam dan diberi cuti empat hari serta diminta pulang ke rumah. Di samping itu juga, dia dinasihatkan untuk mengambil ujian darah. Beberapa orang rakannya juga didapati demam.

Aku menelefon HEP dan dimaklumkan tiada sebarang kes influenza A (H1N1) di UiTM Kedah.
Keesokan harinya (Selasa), kami berempat bertolak ke UiTM kerana bimbangkan keadaan Angah. Setibanya kami di UiTM di sebelah tengahari, kami terus membawanya ke Hospital Sg Petani bersama seorang rakannya. Angah serta rakannya diberi ubat demam serta batuk tanpa menjalani ujian darah.

Kami menghantar semula Angah dan rakannya ke UiTM.

Kami pulang ke Rawang petang itu juga dan tiba di rumah menjelang tengah malam.

Sabtu lepas, Azri kembali demam...aku dah mula risau. Namun Alhamdulilah, keesokan harinya dia dah sembuh.

Angah pun dah sembuh sepenuhnya.

Aku memohon kepada Mu, Ya Allah, agar kami sekeluarga dijauhi dari wabak penyakit ini. Amin

Tuesday, May 26, 2009

2 Hari 1 Malam@Sg Petani

Alhamdulillah, Angah telah mendapat tempat di UiTM Sg Petani dalam program Asasi Undang-undang selama 3 semester.

Kami bercadang untuk bertolak ke Sg Petani pada malam Jumaat selepas solat Isyak. Memandangkan aku keletihan dan tertidur, kami cuma bertolak selepas tengah malam.

Kami berehat selama setengah jam di R&R Tapah dan kemudiannya singgah di Batu Gajah untuk bermalam. Dari Batu Gajah, kami singgah di pejabat hasil untuk mematikan setem borang perjanjian sebelum meneruskan perjalanan ke Sg Petani.

Selepas makan tengahari, kami check-in di Emerald Puteri Hotel dengan kadar bayaran RM99...tambah RM25 upgrade bilik dan RM38 untuk katil tambahan.


Selepas rehat seketika, kami menikmati makanan segera di Restoran Radix Fried Chicken serta membeli-belah di sekitar bandar Sg Petani.



Pada hari kedua di Sg Petani, kami terus ke UiTM selepas sarapan pagi. Perjalanan mengambil masa setengah jam dari hotel tersebut ke UiTM.

Setelah selesai urusan pendaftaran serta penempatan pelajar, kami kembali ke bandar Sg Petani untuk membeli barang keperluan lain serta makan tengahari.

Setelah menghantar Angah kembali ke UiTM, kami berlepas pulang ke Rawang. Singgah sebentar di Ipoh untuk mengambil barang Along dan makan malam sebelum kembali semula ke Rawang.


Ibu dan anak sedang mengisi borang pendaftaran di bilik asrama...


Azri diberi penghormatan untuk menulis nama Angah di baldi...

...dan inilah hasilnya...

Singgah sebentar untuk menikmati minuman air kelapa...RM1.30 dalam paket plastik...mahalnya!


Solat jamak di masjid berhampiran Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh...

Menjamu selera sebelum bertolak pulang ke Rawang..

Monday, May 25, 2009

Kunjungan Pertama ke Radix Fried Chicken


Akhirnya hasrat untuk mengunjungi restoran Radix Fried Chicken (RFC) tercapai. RFC yang kami kunjungi terletak di Sg Petani tidak jauh dari Pasaraya Tesco.

Ketika kami tiba kira-kira jam 6:40 petang pada hari Jumaat lepas, hampir separuh daripada restoran makanan segera ini telah dipenuhi oleh para pengunjung.

Kami yang memang sudah biasa dengan KFC dapati tiada beza di antara hidangan KFC dengan RFC seperti hidangan ayam goreng, smash potato, coleslaw, fries dan cheese wedges. Walaupun nama hidangan berlainan, namun konsepnya tetap sama. Mungkin pihak pengurusan patut memikirkan sesuatu yang berlainan agar tidak dianggap cuba meniru KFC.

Walaupun sebelum ini pernah mendengar komen positif mengenai hidangan RFC, namun secara jujurnya kami dapati ianya gagal menyaingi keenakan hidangan KFC kecuali minuman Radix cola yang sedap dan kurang gas. Dari segi pengunjung pula, kami dapati 95% adalah pengunjung Melayu. Ketika sedang makan, kelihatan seorang wanita Cina bersama dua orang anaknya sedang memesan makanan. Mungkin kurangnya promosi membuatkan RFC kurang mendapat sambutan daripada masyarakat bukan Melayu.

Seperkara lagi yang kurang menyenangkan ketika kunjungan kami ialah terdapat beberapa ekor lalat yang berterbangan di sekitar meja makan. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku di dalam restoran tertutup. Diharap pihak pengurusan dapat memberi perhatian serius terhadap mutu kebersihan restoran RFC.

Kami berharap pihak pengurusan akan cuba melakukan sesuatu berlainan dari KFC yang sudah terkenal sebagai restoran makanan segera. Juga baiki tahap mutu perkhidmatan, kebersihan serta lebih banyak promosi bagi menggamit lebih banyak pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat.

Akhir sekali kami berharap cawangan RFC akan diperluaskan di seluruh Malaysia khususnya di Lembah Klang dalam masa terdekat.




Minuman yang disediakan hasil keluaran HPA sendiri.
Macam hidangan kat KFC kan...

Terdapat ruang untuk kanak-kanak bermain...

Friday, May 1, 2009

Catatan 01 Mei 2009

Hari ini, 01 Mei 2009, merupakan cuti umum sempena dengan perayaan Hari Pekerja. Ramai yang mengambil kesempatan cuti tiga hari (Jumaat, Sabtu dan Ahad) untuk pulang ke kampung atau melancong.

Namun ada juga yang terpaksa bekerja di hari ini, termasuk penulis sendiri. Ini adalah kerana terpaksa bertungkus lumus untuk menyiapkan dokumen tender yang akan dihantar pada hari Selasa minggu depan.

Penulis tiba di pejabat kira-kira jam 10:00 pagi dan bos pun sudah tiba lebih awal lagi. Cuma kami berdua sahaja berada di pejabat untuk menyiapkan tender tersebut. Kebanyakan staf pulang ke kampung. Ada seorang staf yang baru sebulan bekerja ambil cuti sejak hari Khamis lalu kerana persiapan untuk majlis pertunangannya pada hari ini.

Penulis keluar dari pejabat ketika azan zohor dilaungkan. Penulis tiba di Surau Saujana Impian ketika khatib sedang berkhutbah. Penulis tidak menjangka di hari cuti umum ini surau tersebut sudah pun dipenuhi oleh para jemaah sehingga terpaksa solat di luar.

Selepas solat Jumaat, penulis terus ke Tesco Kajang berhampiran untuk makan tengahari di medan selera. Jam 3:00 petang tiba semula di pejabat untuk menyambung tugasan.

Aduh...! Banyak juga dokumen perlu disediakan. Nampak gayanya memang tak boleh disiapkan pada hari ini. Terpaksa juga datang esok. Harap-harap hari Isnin semuanya dapat dibereskan sebelum dikemukakan keesokan harinya.

Oh ya...Selamat Menyambut Hari Pekerja!

Tuesday, April 14, 2009

Kesesakan di Plaza Tol Jalan Duta: Ramai Potong 'Queue'



Hari Sabtu, 11 April 2008, kira-kira jam 5:30 petang. Kami sekeluarga berlepas dari Rawang menuju ke Setiawangsa melalui Lebuhraya PLUS dalam keadaan hujan lebat. Setibanya di Plaza Tol Jalan Duta, keadaan agak sesak khususnya ke arah laluan lorong tunai.



Gambar di atas menunjukkan kenderaan bersesak untuk melepasi lorong tunai jika dibandingkan dengan lorong 'Touch n Go' dan 'Smart Tag'.



Kira-kira 100 meter sebelum tiba di plaza tol, baru sedar terdapat dua baris kenderaan sedang memasuki satu lorong tol plaza. Mungkin pihak PLUS perlu meletakkan kon keselamatan sepanjang 100-150 meter sebelum tiba di plaza tol. Ini boleh dijadikan panduan kepada pemandu kenderaan agar tidak berlakunya dua baris kenderaan yang memasuki satu lorong tol plaza.

Kereta Wira Aeroback hijau di sebelah kiri aku pula, pemandu wanita, memang tidak bagi peluang pada aku untuk beri laluan. Pada hal dia tahu kenderaan aku agak ke depan sedikit dan cuba memasuki laluan...tak pe la, aku pun tak kisah sangat.


Di dalam kesesakan ini, ada juga pemandu yang kurang sabar dengan memotong barisan. Lihat gambar di atas sebuah teksi sedang cuba mencelah memotong 'queue'.



Kemudian van di atas pula memotong barisan..selamba je pemandu tersebut.


Kenderaan di sebelah kanan pula sedang memasuki lorong 'Touch n Go'...kemudian tiba-tiba ianya berundur...


...dan cuba memasuki lorong tunai...namun tak jadi masuk bila dipanggil oleh seorang petugas PLUS untuk memasuki semula lorong 'Touch n Go'...



Nampak gayanya ada masalah sedikit apabila kenderaan tersebut berundur semula...mungkin adalah masalah dengan kad 'Touch n Go' atau baki tidak mencukupi...

Tuesday, April 7, 2009

Catatan 05 April 2009

Jam 8:30 malam, aku bersama Angah dan Azri berlepas ke Taman Setiawangsa, KL. Ketika itu, hujan turun renyai-renyai. Aku sebenarnya bukanlah suka sangat meredah ke KL pada waktu malam hari Ahad memandangkan keesokan paginya kena bergegas untuk ke pejabat.

Memandangkan Angah dapat kerja sementara berhampiran dengan tempat tinggal kawannya, aku pun terpaksalah menghantarnya.

Kira-kira kurang satu kilometer sebelum tiba tol plaza Jalan Duta, kelihatan penuh sesak kenderaan. Aku tidak boleh berbuat apa-apa, terpaksalah terperangkap juga di dalam kesesakan tersebut.

Aku terpaksa memandu perlahan sambil mencari ruang untuk aku memasuki lorong sebelah. Ada juga sebahagian pemandu yang menggunakan lorong kecemasan, namun terkandas apabila sebuah bas ekspres seolah sengaja menghimpit lorong kecemasan tersebut.

Aku terfikir juga mengapa tak 'topup' touch n go sebelum keluar dari tol plaza Rawang. Tapi teringat pula sebelum tu kaunter 'topup' di tol plaza Rawang ditutup - dibuka hanya pada waktu tertentu sahaja.

Dalam kesesakan tersebut, sempat juga aku mengambil beberapa keping gambar dengan menggunakan handphone Angah. Malah Azri pun juga mengambil peluang menangkap gambar - dia minat dengan bas ekspres dua tingkat tu.

Aduh! Penatnya kaki asyik menekan 'clutch'...


Apa yang aku kesalkan ialah tiadanya sistem VMS (Variable Message Signs) dipasang dalam perjalanan menuju ke Tol Jalan Duta dari arah Rawang. Sekurang-kurangnya dengan wujudnya VMS (seperti gambar di bawah) dapat memaklumkan pengguna lebuhraya tentang berlakunya kesesakan di Plaza Tol Jalan Duta. Sudah tentu para pengguna boleh mencari alternatif untuk ke Kuala Lumpur - mungkin melalui exit Sg Buloh, Damansara, dsb.



Akhirnya kami berjaya juga melepasi Plaza Tol Jalan Duta. Nampak gayanya, DUKE yang menghubungi terus ke Setiawangsa belum siap sepenuhnya. Jadi aku terus memandu ke arah Jalan Kuching, memasuki Jalan Tun Razak, dan membelok ke Jalan Pahang/Genting Klang dan seterusnya ke Setiawangsa melalui Wangsa Maju.

Setelah meninggalkan Angah di rumah kawannya, kami berdua terus pulang (Azri sudah pun terlena). Aku memandu melalui MRR2 dan keluar ikut Tol Plaza Sg Buloh menuju ke Rawang.

Aku tak pasti ketika itu pukul berapa - cuma mengagak sudah pun tengah malam. Setibanya di Tol Plaza Rawang. aku pun membayar RM2.00. Dalam hati ini berasa hairan kerana sebelum ini kalau sudah tengah malam, ada diskaun.

Setibanya di rumah, aku memeriksa resit tol. Rupanya waktu aku sampai di tol plaza tadi menunjukkan jam 11:58 malam - 2 minit sebelum tengah malam. Patutlah tiada diskaun!

Tuesday, March 24, 2009

Selamat Harijadi Kakcik


19 Mac yang lepas, genap usia Kakcik yang ke 12.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, kami tidak mengadakan sebarang majlis istimewa sempena dengan harijadi anak-anak kami, termasuk Kakcik. Tiada sebarang tiupan lilin mahu pun hiasan belon. Hanyalah sebiji kek yang dibeli dari kedai cukup bererti buat Kakcik serta ucapan selamat harijadi dari kami sekeluarga.

Selamat Harijadi Kakcik!

Friday, March 13, 2009

Keputusan SPM 2008: Tahniah Untuk Angah

Photobucket

Semalam keputusan SPM 2008 telah diumumkan. Syukur, Alhamdulillah, Angah telah lulus di dalam semua 10 matapelajaran yang diambil - 5A, 2B dan 3C. Walau pun tidak menepati sasaran lebih baik dari Along (5A, 4B dan 1C), namun abah tetap bersyukur dengan keputusan tersebut.

Abah tahu Angah telah berusaha dengan bersungguh-sungguh. Malah abah pun tahu Angah menghadapi masalah dengan matapelajaran Sains, terutama sekali Fizik. Jadi abah tidaklah menaruh harapan terlalu tinggi terhadap matapelajaran tersebut.

Satu rintangan telah berjaya Angah lepasi. Dan banyak lagi rintangan yang perlu Angah hadapi di sepanjang jalan kehidupan ini.

Tahniah Angah!!!

Wednesday, March 11, 2009

Al-Fatihah Buat Ibu Mertua Ku

Ibu mertua ku, Hajjah Esah Saedin, telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada hari Jumaat, 6 Mac 2009, pada jam 12:05 pagi di Hospital Serdang.

Beliau dilahirkan di Kampar, Perak kira-kira 72 tahun yang lalu. Hasil perkahwinan yang pertama, beliau dikurniakan tiga orang anak - Kak Zah, Abang Zizi dan Abang Lan. Manakala perkahwinannya yang kedua pula dikurniakan empat orang anak - Abang Zul, Kak Ina, Sal (isteri ku) dan Yam.

Bapa mertua ku telah pun meninggal dunia pada Julai 2003, kira-kira seminggu sebelum kelahiran anak bongsu ku, Ahmad Azri.

Hari Rabu lepas, ibu mertua ku dimasukkan ke wad CCU di Hospital Serdang kerana mengadu sakit dan sesak nafas. Aku sempat berjumpa dengannya di waktu tengahari, namun tidak dapat berbual panjang. Beliau cuma duduk di atas katil dan tidak boleh baring kerana akan merasa sakit.

Keesokan harinya, aku dimaklumkan beliau kelihatan begitu ceria dan sempat bergurau dengan kesemua anak-anaknya yang lain di sepanjang hari. Hajatnya untuk bertemu dengan Abang Lan yang telah lama tidak berjumpa tercapai jua.

Menjelang tengah malam, aku menerima panggilan telefon dari suami Kak Ina bahawa ibu mertua ku dalam keadaan nazak. Aku pun bersiap untuk ke hospital. Namun belum sempat aku menaiki kenderaan, Abang Zul menelefon dan maklumkan ibunya telah pun meninggal dunia.

Jam 1:30 pagi, aku telah pun tiba di wad CCU. Abang Zul ketika itu sedang menelefon salah seorang AJK surau bagi menguruskan jenazah ibunya. Kemudian jenazah dibawa ke rumah mayat hospital tersebut sebelum dihantar pulang ke rumahnya di Ampang dengan menaiki van jenazah.

Jam 9:00 pagi, jenazah dibawa ke surau untuk dimandikan, dikapankan dan kemudiannya solat jenazah. Seterusnya jenazah dibawa ke tanah perkuburan Kg Cheras Baru untuk dikebumikan kira-kira jam 11:30 pagi.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas beliau dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Amin.

Wednesday, February 11, 2009

Suatu Petang di Puteri Central Park

Hari Isnin, 9 Februari 2009 lepas...

Memandangkan hari tersebut cuti perayaan Thaipusam, aku mengambil peluang untuk meluangkan masa bersama Azri di Puteri Central Park (PCP). Maklumlah, cuma hari cuti sahaja aku dapat meluangkan masa bersamanya.

Kira-kira jam 5:30 petang kami tiba di PCP dan cuaca ketika itu agak panas.



Tidak ramai pengunjung ketika itu. Mungkin keadaan cuaca yang masih panas ketika itu. Atau mungkin masih dalam perjalanan pulang dari tempat kerja bagi mereka yang bekerja di Kuala Lumpur.


Azri begitu seronok bermain...teringat di zaman kanak-kanak dahulu...aku sering dibawa ke padang permainan oleh orang tua ku...


Namun Azri tidak lama bermain...lepas itu dia cuma berlari di sekitar kawasan permainan ini...



Bila aku lihat Azri macam dah bosan, aku mengajaknya ke puncak bukit PCP...




Kami tidak terus mendaki bukit tersebut...cuma melalui lorong yang disediakan...ada juga pengunjung yang menyalahgunakan lorong ini dengan menunggang motorsikal...


Dah sampai di puncak bukit PCP...kehadiran kami ini nampaknya telah mengganggu sepasang teruna-dara yang masih terlalu muda...hehehe...


Dari puncak bukit PCP...nun kelihatan masjid BTP...mungkin pasangan tersebut sedang berbincang untuk mendirikan masjid kot...isshh...SPM pun tak lepas lagi...!


Blok 14 Maple...antara blok yang paling awal didiami di Bandar Tasik Puteri sejak Disember 2000...di hujung sekali berhampiran tangki air...pokok togel yang tertinggi sekali di Bandar Tasik Puteri...sebenarnya, pokok tersebut adalah menara telekomunikasi...



Lepas itu kami pun turun ke bawah dan terus pulang ke rumah...