Sunday, January 11, 2009

Restoran Radix Fried Chicken

Sebut sahaja perkataan 'radix' sudah tentu ramai yang pernah mendengarnya melalui iklan kopi Radix. Malah sebutan 'mai secawan...' seringkali dikaitkan dengan produk tersebut.
Radix merupakan jenama yang digunakan oleh HPA Industries Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh bumiputera di Arau, Perlis. Tujuan utama penubuhan syarikat ini ialah untuk memberi pendedahan mengenai perubatan herba tradisional sebagai satu rawatan alternatif kepada masyarakat, bukan sahaja memberi kesihatan yang terjamin malahan dapat mengecapi kemakmuran dan memperkayakan kehidupan.



Kini HPA Industries telah mengorak langkah dengan menubuhkan restoran makanan segera, Radix Fried Chicken (RFC) sebagai alternatif kepada restoran makanan segera yang ada sekarang. Ianya merupakan restoran makanan segera milik bumiputera Islam yang pertama di Malaysia. Cawangan pertama telah dibuka dengan rasminya pada 1 Jun 2008 di Legenda Height, Sungai Petani, Kedah dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan di kalangan penduduk tempatan.



Apa yang menarik tentang menu utama di RFC ini ialah ayam yang dibekalkan adalah dari ladang ternakan milik HPA sendiri, iaitu HPA Farm Sdn Bhd yang telah bertungkus lumus menghasilkan ayam halal di pasaran. Bermula daripada penyediaan makanan ayam yang halal, bebas dari penggunaan antibiotik, bebas dari penggunaan beta agonist (enzim penggemuk dari babi) dan sembelihan yang terjaga hukum hakamnya sampailah penyediaan makanan yang siap dimakan.

RFC menggunakan Radix Cola sendiri menggantikan Coca-Cola dan rempahan yang digunakan untuk menghasilkan ayam RFC juga diproses dengan resepi tersendiri. Sos cili, sos tomato dan sos Thai juga dihasilkan di kilang HPA yang terletak di Jejawi, Sematang, Perlis.
Secara peribadinya, penulis sendiri belum pernah berkunjung ke sana, apatah lagi untuk menikmati hidangan keluaran bumiputera ini. Penulis mula mendengar RFC beberapa bulan lepas melalui seorang kenalan di Semenyih yang mempunyai hasrat untuk membuka francais RFC ini.
Penulis berharap outlet RFC ini akan diperluaskan di semua bandar-bandar utama di seluruh Malaysia, dan seterusnya ke luar negara. Penulis juga percaya ianya akan mendapat sambutan serta sokongan daripada umat Islam, khususnya penggemar makanan segera.
Sumber:
http://hpa.com.my/09/index.html
http://duniaherbahpa.com/2008/05/restoran-radix-fried-chicken-rfc-sg-petani-kedah/

1 comment:

Unknown said...

Diharap RFC dapat membuka cawangannya di Pasir Gudang tahun hadapan..