Showing posts with label Eating Out. Show all posts
Showing posts with label Eating Out. Show all posts

Monday, May 25, 2009

Kunjungan Pertama ke Radix Fried Chicken


Akhirnya hasrat untuk mengunjungi restoran Radix Fried Chicken (RFC) tercapai. RFC yang kami kunjungi terletak di Sg Petani tidak jauh dari Pasaraya Tesco.

Ketika kami tiba kira-kira jam 6:40 petang pada hari Jumaat lepas, hampir separuh daripada restoran makanan segera ini telah dipenuhi oleh para pengunjung.

Kami yang memang sudah biasa dengan KFC dapati tiada beza di antara hidangan KFC dengan RFC seperti hidangan ayam goreng, smash potato, coleslaw, fries dan cheese wedges. Walaupun nama hidangan berlainan, namun konsepnya tetap sama. Mungkin pihak pengurusan patut memikirkan sesuatu yang berlainan agar tidak dianggap cuba meniru KFC.

Walaupun sebelum ini pernah mendengar komen positif mengenai hidangan RFC, namun secara jujurnya kami dapati ianya gagal menyaingi keenakan hidangan KFC kecuali minuman Radix cola yang sedap dan kurang gas. Dari segi pengunjung pula, kami dapati 95% adalah pengunjung Melayu. Ketika sedang makan, kelihatan seorang wanita Cina bersama dua orang anaknya sedang memesan makanan. Mungkin kurangnya promosi membuatkan RFC kurang mendapat sambutan daripada masyarakat bukan Melayu.

Seperkara lagi yang kurang menyenangkan ketika kunjungan kami ialah terdapat beberapa ekor lalat yang berterbangan di sekitar meja makan. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku di dalam restoran tertutup. Diharap pihak pengurusan dapat memberi perhatian serius terhadap mutu kebersihan restoran RFC.

Kami berharap pihak pengurusan akan cuba melakukan sesuatu berlainan dari KFC yang sudah terkenal sebagai restoran makanan segera. Juga baiki tahap mutu perkhidmatan, kebersihan serta lebih banyak promosi bagi menggamit lebih banyak pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat.

Akhir sekali kami berharap cawangan RFC akan diperluaskan di seluruh Malaysia khususnya di Lembah Klang dalam masa terdekat.




Minuman yang disediakan hasil keluaran HPA sendiri.
Macam hidangan kat KFC kan...

Terdapat ruang untuk kanak-kanak bermain...

Sunday, January 11, 2009

Restoran Radix Fried Chicken

Sebut sahaja perkataan 'radix' sudah tentu ramai yang pernah mendengarnya melalui iklan kopi Radix. Malah sebutan 'mai secawan...' seringkali dikaitkan dengan produk tersebut.
Radix merupakan jenama yang digunakan oleh HPA Industries Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh bumiputera di Arau, Perlis. Tujuan utama penubuhan syarikat ini ialah untuk memberi pendedahan mengenai perubatan herba tradisional sebagai satu rawatan alternatif kepada masyarakat, bukan sahaja memberi kesihatan yang terjamin malahan dapat mengecapi kemakmuran dan memperkayakan kehidupan.



Kini HPA Industries telah mengorak langkah dengan menubuhkan restoran makanan segera, Radix Fried Chicken (RFC) sebagai alternatif kepada restoran makanan segera yang ada sekarang. Ianya merupakan restoran makanan segera milik bumiputera Islam yang pertama di Malaysia. Cawangan pertama telah dibuka dengan rasminya pada 1 Jun 2008 di Legenda Height, Sungai Petani, Kedah dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan di kalangan penduduk tempatan.



Apa yang menarik tentang menu utama di RFC ini ialah ayam yang dibekalkan adalah dari ladang ternakan milik HPA sendiri, iaitu HPA Farm Sdn Bhd yang telah bertungkus lumus menghasilkan ayam halal di pasaran. Bermula daripada penyediaan makanan ayam yang halal, bebas dari penggunaan antibiotik, bebas dari penggunaan beta agonist (enzim penggemuk dari babi) dan sembelihan yang terjaga hukum hakamnya sampailah penyediaan makanan yang siap dimakan.

RFC menggunakan Radix Cola sendiri menggantikan Coca-Cola dan rempahan yang digunakan untuk menghasilkan ayam RFC juga diproses dengan resepi tersendiri. Sos cili, sos tomato dan sos Thai juga dihasilkan di kilang HPA yang terletak di Jejawi, Sematang, Perlis.
Secara peribadinya, penulis sendiri belum pernah berkunjung ke sana, apatah lagi untuk menikmati hidangan keluaran bumiputera ini. Penulis mula mendengar RFC beberapa bulan lepas melalui seorang kenalan di Semenyih yang mempunyai hasrat untuk membuka francais RFC ini.
Penulis berharap outlet RFC ini akan diperluaskan di semua bandar-bandar utama di seluruh Malaysia, dan seterusnya ke luar negara. Penulis juga percaya ianya akan mendapat sambutan serta sokongan daripada umat Islam, khususnya penggemar makanan segera.
Sumber:
http://hpa.com.my/09/index.html
http://duniaherbahpa.com/2008/05/restoran-radix-fried-chicken-rfc-sg-petani-kedah/