Wednesday, October 15, 2008

What if...

1. If Fed Ex and UPS were to merge, would they call it Fed UP?

2. Do Lipton Tea employees take coffee breaks?

3. If olive oil comes from olives, where does baby oil come from?

4. If people from Poland are called Poles, why aren't people from Holland called Holes? hehehe......

5. Do infants enjoy infancy as much as adults enjoy adultery? Oopps...

6. Why is the man who invests all your money called a broker?

7. If horrific means to make horrible, does terrific mean to make terrible?

8. Why is it called building when it is already built?

9. If a book about failures doesn't sell, is it a success?

10. If you're not supposed to drink and drive, then why do bars have parking lots?

11. If you take an Oriental person and spin him around several times, does he become disoriented?

12. If vegetarians eat vegetables, what do humanitarians eat?

Tuesday, October 14, 2008

Perjumpaan Sahabat SIM Zon Tengah




Majlis Perjumpaan Sahabat SIM Zon Tengah telah diadakan di Restoran Haji Samuri, Kajang pada hari Sabtu, 11 Oktober lepas.

Majlis yang julung-julung kali diadakan telah dapat menghimpunkan sahabat-sahabat yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Kira-kira 30 orang termasuk pasangan serta kanak-kanak turut serta memeriahkan majlis tersebut.

SIM ini adalah group Sahabat Interaktif Malaysia (SIM) yang keahliannya terdiri dari pengguna ICT yang aktif dan interaktif di semua peringkat umur. SIM telah ditubuhkan kira-kira empat tahun lepas dan mempunyai keahlian seramai 20 ribu di seluruh Malaysia. Di antara aktiviti yang akan dijalankan ialah cadangan untuk menubuhkan Koperasi SIM untuk ahli-ahli.

Untuk keterangan lanjut mengenai SIM, sila layari http://www.sim.org.my/

Wednesday, October 8, 2008

Puasa Sunat Syawal, Ganti & Ziarah


Puasa sunat Syawal sememangnya amat popular di kalangan masyarakat kita hari ini. Dikesempatan ini saya suka menasihatkan semua yang ingin mengamalkan puasa sunat ini agar berhati-hati dari tipu daya syaitan yang kerap berjaya menjadikan seseorang individu yang berpuasa itu bermegah dan riya' dengan amalannya.


" kau , dah hari ker berapa dah?"

"aku dah 5 hari dah ni"

"esok aku raya (sunat syawal)"

Ini adalah antara kata-kata yang kerap didengari di bulan syawal ini.


Ia menjadi seolah-olah satu budaya untuk berlumba menamatkan puasa enam. Ia agak terpuji tetapi ia dicemari oleh habahan-hebahan yang dibuat tentang bilangan hari puasanya bertujuan melihat 'sapa lebih hebat?'.

Amat dibimbangi, tindakan ini bakal menghilangkan seluruh pahala puasa sunatnya. Kerana ia boleh menjadikan seseorang merasa riya, serta memperdengarkan amalan masing-masing yang sepatutnya di sembunyikan khas untuk Allah.

Ziarah & Puasa Sunat
Saya tidak nafikan ada yang terpaksa memberitahu apabila ada rakan yang ajak makan dan menziarahi rumah rakan. Tatkala itu, ia tidaklah terkeji dan masing-masing bertanggung jawab menjaga niat dan hati masing-masing agar tidak timbul perasaan tersebut.


Puasa sunat ini juga tidak sewajarnya menjadi penghalang menerima jemputan rakan-rakan yang membuat rumah terbuka.


Isu Keutamaan Antara Sunat Syawal & Qadha
Selain itu, satu isu yang kerap ditimbulkan berkenaan hal ini adalah tentang penggabungannya dengan puasa ganti ramadhan dan puasa yang mana satu lebih perlu diutamakan.


Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik di antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha?. Jawapannya sudah tentu adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih


وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه

Ertinya : "..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya..." (Riwayat Al-Bukhari, no 6021)


Hadis tadi sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.


Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat. Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawwal terlebih dahulu di ketika itu . Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawwal yang singkat berbanding Qadha (sepanjang tahun).


Bagaimanapun harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.


Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawwal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah SWT.

Bagaimanapun seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawwal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali. Berdasarkan sabda Nabi SAW


‏إن الله كتب الحسنات والسيئات ثم بين ذلك فمن هم بحسنة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له عنده عشر حسنات إلى سبع مائة ضعف إلى أضعاف كثيرة ومن هم بسيئة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له سيئة واحدة

Ertinya " ... barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda.." ( Riwayat Al-Bukhari, no 6010)

Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang' ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.


Isu Gabung Sunat & Qadha
Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-


Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.

Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.

Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti' itu dipersoalkan, iaitu :-

1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid' atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid'. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.

2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa'dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a'lam.

3. Tindakan A'isyah r.a yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka inilah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana Aisyah r.a tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :


كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان

Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya'ban" ( Riwayat Muslim, no 101)

4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam' (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.

Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)

5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad 'Aayish al-'Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awalwiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW


من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر

Ertinya: "Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)" (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).

6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe'il madhi' iaitu ‘past tense' bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.

7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadith
" Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan." (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)


Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).


Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh di buat sesuka hati di dalam ibadah.

Kesimpulan
Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini : Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal);
Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah "keringanan" bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman


25 Oktober 2006

(Diedit semula pada 3 Syawal 1428 H = 15 Oktober 2007)

TERBIT SEMULA : 8 OKTOBER 2008 ( 9 Syawal 1429 H)

p/s : Anda bebas untuk tidak menyetujui kesimpulan saya dalam tulisan ini. Bagaimanapuan, pihak saya tidak mengalu-alukan sebarang perdebatan dan hujah balas dalam ruangan komen. Saya meraikan setiap pandangan tanpa menyalahkan mana-mana pihak.
Justeru, tidak perlulah berhujjah di sini, ini bukan tempatnya yang sesuai.

Tuesday, October 7, 2008

Ganjaran Besar Puasa Enam Syawal


Oleh Zahri Hamat


Dua jenis amalan menentukan peribadi seseorang Muslim iaitu amalan wajib dan amalan sunat. Wajib bermaksud sesuatu yang dituntut untuk melakukannya dan berdosa jika ditinggalkan seperti solat fardu, puasa pada Ramadan dan membayar zakat.

Sunat pula bermaksud sesuatu yang dianjurkan untuk melakukannya dan tidaklah berdosa jika ditinggalkan. Antara contoh amalan sunat ialah solat, mengucapkan amin apabila membaca fatihah dalam solat dan banyak lagi.

Walaupun meninggalkan amalan sunat tidaklah menyebabkan berdosa, ia adalah amalan sangat disukai Allah.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya Allah berfirman yang maksudnya: "Sesiapa yang memusuhi wali-Ku, maka sesungguhnya aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Dan tiada seorang hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai hanya dari ia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas dirinya. Dan hendaklah hamba-Ku sentiasa bertaqarrub dirinya kepada-Ku dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah mencintainya, nescaya adalah Aku sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya, dan sebagai penglihatannya yang ia melihat dengannya, dan sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya, dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya. Dan jika ia meminta kepada-Ku nescaya Aku berikan kepadanya, dan jika ia memohon perlindungan kepada-Ku nescaya Aku lindungi." (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Antara ibadat sunat yang amat digalakkan selepas puasa wajib Ramadan ialah puasa enam hari semasa Syawal. Persoalannya, bilakah waktu terbaik melakukannya, dan bagaimanakah cara untuk menunaikannya jika puasa wajib belum lagi diganti atau diqada?

Puasa enam hari pada Syawal sebenarnya amat besar ganjaran yang ditawarkan Allah. Ia disebut secara jelas oleh Rasulullah SAW.

Dilaporkan daripada Abu Ayyub al-Ansari bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa berpuasa sepanjang Ramadan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari Syawal, maka seakan-akan dia berpuasa selama satu tahun." (Hadis riwayat Muslim, Abu Dawud, An-Nasa'i dan Ibnu Majah)

Ini bermakna dengan berpuasa sunat selama enam hari pada Syawal selepas berpuasa wajib pada Ramadan, seolah-olah mereka berpuasa sepanjang tahun. Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah telah menggandakan setiap kebaikan dengan sepuluh kali ganda. Puasa Ramadan setara dengan berpuasa sebanyak sepuluh bulan. Dan puasa enam hari Syawal yang menggenapkannya satu tahun." (Hadis riwayat An-Nasa'i dan Ibnu Majah)

Hadis ini mempamerkan bahawa ganjaran diberikan Allah itu sepuluh kali ganda. Ini bermakna jika kita berpuasa selama 30 hari pada Ramadan, maka digandakan menjadi 300 hari, manakala puasa enam hari pada Syawal digandakan menjadi 60 hari. Ganjaran Allah adalah sebanyak 360 hari.

Persamaan yang lain, jika berpuasa selama sebulan pada Ramadan akan menyamai 10 bulan, kemudian diikuti puasa selama enam hari pada Syawal akan menyamai dua bulan. Justeru genaplah berpuasa selama setahun.

Ada dua pendapat ulama mengenai hal ini. Majoriti ulama berpendapat, puasa enam dilakukan secara berturut-turut selepas Hari Raya. Ia dimulai pada hari raya kedua dan seterusnya sehingga genap enam hari. Sebahagian ulama pula berpendapat puasa enam itu boleh dilakukan secara berselang-seli atau tidak terus menerus sepanjang Syawal.

Justeru, kita mempunyai kebebasan untuk membuat pilihan sama ada melakukannya secara berturut-turut ataupun berselang seli.

Bagaimanakah pula kaedah menunaikan puasa sunat pada Syawal jika puasa Ramadan masih belum diganti atau qada? Persoalan itu juga mempunyai beberapa pandangan. Pendapat pertama mengatakan adalah memadai seseorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa enam dengan berniat hanya puasa qada pada Syawal. Mereka akan mendapat dua ganjaran sekali gus dengan syarat dia perlu berniat puasa qada terlebih dulu. Ini kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.

Hal yang sama berlaku ke atas solat tahiyatul masjid. Jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu, maka dia akan diberi ganjaran dua pahala sekali gus.

Pendapat kedua ialah jika seseorang melakukan kedua-duanya secara berasingan akan mendapat kelebihan di sisi Allah kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah, maka memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan antara yang wajib dengan sunat lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba.

Ada juga ulama berpendapat bahawa puasa enam seharusnya didahulukan kerana ia hanya boleh diamalkan pada bulan Syawal saja. Bagi puasa qada, ia boleh dilakukan dalam tempoh 10 bulan berikutnya sebelum tibanya Ramadan akan datang.

Lakukan ibadat sunat ini sama ada berpuasa secara berturut-turut atau berselang-seli. Begitu juga dengan puasa qada. Lakukanlah sama ada secara digabungkan puasa enam dengan puasa qada ataupun secara berasingan.

Terpulanglah kepada diri kita sendiri berdasarkan kemampuan masing-masing. Hal ini kerana ganjaran ditawarkan Allah amat besar. Ia juga adalah tambahan kepada kekurangan yang diimbangi oleh zakat fitrah.


Penulis ialah pensyarah Pusat Kajian pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia

Monday, October 6, 2008

Catatan Hari Raya

01 Oktober 2008
Hari ini 1 Syawal...umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Pagi ini aku menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau As Siddiqin, Bandar Tasik Puteri, Rawang.
Kalau di tahun-tahun lepas surau ini akan padat hingga di luar, tapi pada hari raya ini agak berbeza sedikit. Boleh dikatakan jumlah yang ada sudah pun memenuhi di ruang solat. Mungkin disebabkan dengan adanya Masjid Bandar Tasik Puteri yang telah dibuka, jadi ramai yang ambil kesempatan untuk melakukan solat sunat Aidilfitri di sana.
Selepas solat, seperti biasa kami berkumpul sekeluarga di rumah untuk bermaaf-maafan antara satu sama lain. Maklumlah, sebagai manusia, kita memang tidak dapat lari dari melakukan salah dan silap.
Kemudian, kami terus ke rumah mertua di Ampang. Cuma ibu mertua, adik ipar serta keluarga dan abang ipar sahaja yang ada di sana.
Kami kembali ke rumah di sebelah petang.
02 Oktober 2008
Pagi ini, kami bersiap ke kampung halaman ku di Batu Gajah, Perak.
Sepanjang perjalanan di Lebuhraya PLUS, tiada kesesakan berlaku walau pun banyak kenderaan. Aku memandu sekitar 90-100 km/j. Kami exit di Gopeng dan terus ke Batu Gajah.
Kami melepasi Kellie's Castle yang menjadikan daya tarikan di Batu Gajah. Namun, aku sendiri belum pernah menjejak kaki di situ. Aku teringat semasa zaman sekolah, ibu ku pernah menceritakan yang beliau serta rakan-rakan pernah berbasikal menuju ke sana. Menurut ibu ku, dahulu ianya dikenali sebagai Gopeng Castle.
Semua adik-beradik ku sudah pun berada di rumah orang tua kami. Jarang sekali kami dapat berkumpul bersama. Maklumlah, masing-masing sudah bekerja serta berumahtangga, kecuali seorang adik perempuan ku.
Aku adalah anak kedua daripada tujuh orang adik beradik. Kakak ku tinggal di Keramat, KL. Aku pula di Rawang. Yang ketiga, perempuan, tinggal di Taiping. Yang ke empat, lelaki, dan ke enam, perempuan, tinggal di Sarikei. Yang ke lima, perempuan, tinggal di Ipoh dan yang bongsu, perempuan, tinggal di Bandar Sri Permaisuri, KL.
Di sebelah petang, aku ke Kampung Pasir untuk majlis tahlil arwah di rumah arwah nenek. Hampir kesemua adik beradik di sebelah ayah ku turut bersama di majlis tersebut.
Di sebelah malam pula, beberapa orang saudara mara datang menziarahi kami di rumah.
03 Oktober 2008
Pagi ini kami sekeluarga menziarahi ibu saudara di sebelah emak di Kampung Bendera.
Beliau tinggal keseorangan sejak kematian anak sulong beberapa tahun lalu. Sebelum ini, rumah ini juga didiami oleh arwah atuk dan opah.
Ibu saudara ku ini telah lama bercerai ketika anak-anaknya seramai tiga orang masih kecil. Akibat dari perceraian, beliau cuma membela anak yang sulong sementara dua lagi dibela oleh ayah mereka.
Ketika aku sampai, rumah tersebut kelihatan begitu uzur sekali. Rumah sebelah kiri yang sebelum ini disewakan kepada orang lain pun kelihatan lagi teruk, sementara yang sebelah kanan pula telah lama dirobohkan.
Kawasan halaman di depan rumah pun sudah sempit. Ini adalah disebabkan projek landasan berkembar KTMB yang terpaksa mengambil sebahagian daripada kawasan halaman.
Aku masih teringat ketika masih kecil lagi...setiap kali mendengar wisel keretapi, aku akan segera ke halaman depan untuk melihat dan melambai ke arah keretapi yang berlalu. Namun, aku tak berani mendekati landasan keretapi kerana takut mendengar bunyi wisel keretapi yang kuat. Selepas keretapi keretapi berlalu, barulah aku berani berdiri di tengah-tengah landasan keretapi...dan seperti biasa, aku akan dimarahi selepas itu kerana berdiri di tengah-tengah landasan tersebut.
Hmm...tu sebahagian daripada kisah lama...
Setelah menziarahi ibu saudara ku, kami terus menuju ke Taiping...rumah adik ku di Pokok Assam Tambahan. Walau pun sudah beberapa kali ke sana, aku masih lagi tidak ingat laluan ke sana...setiap kali ke sana, mesti aku telefon beberapa kali untuk direction.
Dari Taiping, kami ke Simpang Pulai...rumah kakak ipar tiri yang aku panggil Kak Zah. Suaminya, Abang Karim, mempunyai ikat keluarga dengan ibu ku. Kak Zah adalah seibu dengan isteri ku.
Oh ya...seperti biasa, kami akan singgah di Gurab...di mana isteri ku gemar membeli pasu dan bunga.
04 Oktober 2008
Pagi ini kami bertolak ke Rawang.
Sebelum tu, kami menghantar anak sulung kami ke rumah sewanya di Fair Park, Ipoh. Beliau kini mengikuti pengajian MBBS di RCMP, UniKL di tahun kedua.
Kami terus memasuki Lebuhraya PLUS menuju ke Rawang. Suasana di sepanjang lebuhraya kelihatan penuh dengan kenderaan menuju ke arah selatan. Cuma 2-3 kali berlaku kesesakan. Aku memandu sekitar 90-110 km/j...namun 2-3 kali dalam 120 km/j untuk memotong kenderaan lain. Boleh dikatakan hampir kesemua kenderaan dipandu dalam had laju yang dibenarkan...mungkin ada juga yang dalam lingkungan 120 km/j...namun aku perasan cuma hanya sebuah kereta Merz yang dipandu melebihi 150 km/j!
Sebelum tiba di Tanjung Malim, aku terpaksa meminta isteri ku pula memandu...ngantuk pulak rasanya..tapi aku tak pulak terlelap ketika isteri ku memandu.
Alhamdulillah, kami selamat tiba di rumah sebelum jam 12:00 tengahari...aku terus je tidur di atas sofa...

Catatan Menjelang Hari Raya

27 Sep 2008
Hari ini Sabtu, aku sudah mula bercuti.
Selepas solat Zohor, aku pergi ke Mid Valley Megamall keseorangan untuk mencari kamera DSLR. Inilah kali pertama pergi ke sana dengan menaiki komuter. Agak lama juga menunggu komuter di stesen Kuang, akhirnya komuter dari Rawang muncul.
Tidak ramai sangat penumpang pada ketika itu. Namun setibanya di Sg Buloh, kelihatan ramai penumpang yang sedang menunggu. Ramai yang terpaksa berdiri apabila semua tempat duduk telah dipenuhi. Kebanyakan daripada penumpang terdiri daripada mereka yang akan pulang ke kampung halaman, sementara yang lain untuk pergi membeli-belah sempena dengan hari raya.
Setibanya di Mid Valley Megamall, aku terus ke kedai kamera sambil mencari kamera DSLR di bawah harga RM2K. Pekedai tersebut mencadangkan Olympus E420 dengan 10.0 megapixel, 14-42mm f/3.5-5.6 Zuiko Digital Zoom lens serta kad memori 2GB...dijual dengan harga RM1899.00...menarik jugak.
Aku beralih ke kedai lain...ditawarkan dengan Sony A200 dengan harga RM1699.00...hmm...walau pun murah, tapi aku rasa tak berkenan dengan kamera tersebut. Kemudian, aku ke kedai lain pula...ditawarkan dengan Canon 1000D dengan harga RM1999.00...tapi kena tambah sikit untuk kad memori.
Setelah solat Asar, aku pun berfikir sejenak tentang kamera yang bakal aku beli. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk membeli kamera Olympus E420 di kedai yang pertama tadi. Setelah jurujual memberi sedikit tunjuk ajar menggunakan kamera tersebut, aku pun bergegas keluar apabila menyedari sudah jam 6:40 petang...aku belum lagi membeli juadah untuk berbuka puasa.


Gambar di atas menunjukkan model kamera DSLR Olympus E420...cuma lens yang berbeza.
Bila tiba di food court, aku dapati tempat telah pun penuh...di restoran makanan segera pun 'queue' pun panjang. Nasib baik gerai 901 'queue' tak panjang. Aku terpaksalah membeli hotdog dengan air oren untuk berbuka puasa.
Setelah berbuka di surau dan solat Maghrib, aku pun menuju ke stesen komuter. Aku dapat tahu dari pengumuman di stesen mengenai kelewatan komuter dari arah Seremban dan ini menyebabkan bilangan penumpang yang menunggu makin bertambah ramai.
Suasana di dalam komuter agak sesak juga...ramai yang terpaksa berdiri termasuk aku sendiri. Nasib aku baik kerana dapat tempat duduk apabila ramai yang turun di KL Sentral.
Akhirnya aku sampai di rumah kira-kira jam 11:00 malam...penat betul.

28 Sep 2008
Pagi ni, seperti yang janjikan kepada isteri ku, untuk mengecat pintu pagar rumah.
Isteri aku sendiri yang memilih cat berwarna hijau tua untuk pintu pagar yang tidak pernah dicat sejak tujuh tahun lalu.
Sebelum mengecat, aku terlebih dahulu gosok pagar tersebut dengan kertas pasir. Kemudian, aku pun terus mengecat pagar tersebut dengan Kakcik. Namun Kakcik cuma mengecat kira-kira setengah jam sahaja kerana keletihan.
Lepas tu, Azri pula nak mengecat. Pada mulanya aku tidak membenarkannya, namun bila dia bersungguh...aku pun benarkannya...biar dia ada pengalaman sedikit walau pun usia lima tahun. Namun, dia cuma mengecat selama 10 minit sahaja...dia kata dah penat...aku cuma ketawa melihat dia dalam keletihan. Aku perhatikan tempat yang dicatkan oleh Azri...cat tersebut cair sebab berus yang digunakannya telah direndam dengan minyak tanah sebelum tu. Aku menyapu kembali bahagian tersebut sambil tersenyum teringatkan gelagat dia semasa mengecat.
29 Sep 2008
Pagi Isnin, kami ke bank untuk mengeluarkan sedikit wang bagi perbelanjaan untuk membeli-belah, dsb. Suasana di Maybank dan CIMB di pekan Rawang agak sesak dengan orangramai.
Kemudian kami ke bengkel servis air cond...kipas air cond terpaksa diganti kerana rosak (RM160.00). Namun servis tidak dapat dilakukan kerana masa yang agak suntuk.
Lepas itu, kami terus ke KL untuk membeli-belah. Kami berpecah...aku ke Kompleks Pertama untuk membeli cermin mata baru, manakala yang lain-lain ke Sogo untuk membeli baju.
Kemudian, kami ke food court di Maju Junction untuk berbuka puasa.
Kami terus kembali ke rumah setelah menunaikan solat Maghrib...satu hari lagi yang memenatkan.
30 Sep 2008
Pagi Selasa, aku ke pejabat pos terlebih dahulu untuk memperbaharui road tax serta mendapatkan rebat.
Kira-kira jam 10:30 pagi, aku tiba di bengkel servis air cond semalam. Di situ, aku dapati kompressor terpaksa diganti kerana bocor...semua sekali termasuk servis RM500.00...adus!!
Jam 3:45 petang, barulah selesai servis air cond..aku terus pulang ke rumah dengan keadaan keletihan serta memikirkan bajet yang lari sedikit menjelang raya ni.
Solat Isyak di surau serta takbir hari raya beramai-ramai...
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI...MAAF ZAHIR BATIN.