Thursday, September 18, 2008

Kehebatan Malam Al-Qadr


Dalam tulisan ringkas ini, cuba sama-sama kita hayati beberapa keistimewaan Lailatul Qadar seperti berikut :-

1) Malam berkat yang di turunkan padanya Al-Quran (secara sepenuhnya dari Lawh Mahfuz ke Baytil Izzah di langit dunia sebelum diturunkan kepada Nabi SAW secara berperingkat). Justeru ia disifatkan sebagai malam penuh berkat dalam ayat 3 surah ad-Dukhaan. Pandangan ini adalah sohih dari Ibn Abbas, Qatadah, Sai'd Ibn Jubayr, ‘Ikrimah, Mujahid dan ramai lagi. (Tafsir Al-Baidawi, 5/157 ; Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126 )
2) Dituliskan pada malam tersebut "qadar" atau ketetapan bagi hidup, mati, gembira, rezeki, sihat, sakit dan apa jua berkaitan qadar manusia dan destinasi mereka pada tahun itu.

Ini diambil dari firman Allah s.w.t :-

فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ
Ertinya : Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah Yang mengutus rasul-rasul ( Ad-Dukhan : 4-5)

Imam At-Tabari menyebut bahawa pada malam itu, diputuskan hal ajalnya seseorang, rezekinya, kejadiannya. Malah di malam tersebut juga, ditentukan siapa yang berkahwin dengan siapa, nama siapa yang termasuk dalam senarai kematian pada tahun berikutnya, apakah musibah yang akan menimpa dan lain-lain. Ia juga yang dihuraikan oleh Imam Qatadah, Mujahid dan Al-Hassan(Tafsir At-Tabari, 25/108 )

Imam Al-Qurtubi mencatatkan

قال بن عباس يحكم الله أمر الدنيا إلى قابل في ليلة القدر ما كان من حياة أو موت أو رزق
Ertinya : Berkata Ibn Abbas, Allah s.w.t menghakimi atau menentukan urusan untuk dunia apabila tibanya Laylatul Qadar, dari segala urusan tentang kehidupan (hambanya) atau kematian atau rezeki (Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126)

Demikian juga yang difahami dari apa yang disebut oleh Ibn Abbas. (Tafsir Ibn Kathir, 137/138). Imam An-Nawawi ada menghuraikan maksud panjang bagi hal ini. (Syarah Sohih Muslim, 8/57).

Menurut pandangan yang lain qadar juga membawa bermaksud mulia atau agung.

Adakah kita sudah untuk meninggal dunia hari ini atau sebentar lagi?

Adakah merasa takut untuk menunggu kehadirannya?

Saya selalu cuba menghadirkan perasaan dan persoalan ini dalam minda saya, terutamanya ketika memandu kereta dan menaiki kapal terbang. Terbayang tayar meletup dan kereta terhumban, atau kapal terbang rosak dan menunggu maut hadir sebagaimana yang saya kerap dan suka saya lihat perbincangan mengenainya di dalam rancangan 'Air Crash' terbitan National Geogharphic Channel.

Jika belum merasa sedia, maka apakah sebabnya? Adakah umur yag diberikan belum mencukupi?, atau aqal belum sempurna berfikir untuk menyiapkan persediaan.? Bukankah kita merupakan insan normal yang punyai aqal sihat, malah kita amat marah digelar 'bodoh' oleh orang lain.

Lantas, apakah lagi alasan yang ingin kita sebutkan? Adakah kerana terlalu sibuk mengejar dunia dan leka dengan kenikmatan sementaranya, sehingga tiada masa memikirkan ibadah dan mengetahui perkara halal serta haram.

Justeru, malam Al-Qadr boleh menjadi satu peluang dan ruang untuk berdoa memanjangkan umur dalam ibadah, amal soleh dan rezeki yang baik. Berusahalah.

Sama-sama kita hidupkan malam-malam akhir Ramadhan dengan dengan beribadat sehabis mungkin bagi memastikan yang terbaik buat destinasi hidup kita.

Hanya beberapa hari sahaja untuk bersengkang mata dan melawan nafsu tidur dan rehat. Jika kita punyai cuti yang agak panjang sebelum raya, habiskan ia dengan bacaan Al-Quran dan fahami ertinya. Nafsu 'shopping' dan rehat pasti akan menganggu. Lawani ia, hanya beberapa hari sahaja, paling panjang 10 hari sahaja.

3) Malam ini terlebih baik dari seribu bulan untuk beribadat.
Perlu difahami bahawa para ulama berbeza pandangan dalam pengertian seribu bulan kepada pelbagai takwilan. Cuma Imam At-Tabari selepas membawakan hampir semua pendapat-pendapat semua pihak ia mentarjihkan dengan katanya :-

وأشبه الأقوال في ذلك بظاهر التنزيل قول من قال عمل في ليلة القدر خير من عمل ألف شهر ليس فيها ليلة القدر
Ertinya : Pendapat yang paling tepat dari zahir teks nas yang diturunkan adalah pendapat yang mengatakan erti Seribu bulan adalah "beramal di laylatu Qadr sama dengan amalan seribu bulan yang tiadanya laylatul Qadr ( selian bulan Ramdhan) ( At-Tabari, 30/259)

Imam Malik dalam al-Muwatta' membawakan satu hadis Nabi s.a.w yang memberi makna seribu bulan itu adalah gandaan sebagai ganti kerana umur umat zaman ini yang pendek berbanding zaman sebelum Nabi Muhammad SAW yang amat panjang seperti Nabi Nuh as. (Al-Muwatta, no 698, 1/321 ; Al-Jami' Li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 20/133 ; Syeikh Atiyyah Saqar, Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, dengan pindaan).

4) Pada malam itu, turunnya para Malaikat dan Ruh (Jibrail as).
Hal ini disebutkan di dalam al-Quran dari surah al-Qadr. Manakala, dalam sebuah hadith disebutkan bahawa pada malam tersebut, malaikat akan turun dan berjalan kepada seluruh individu yang sedang beribadat secara berdiri, duduk, bersolat, berzikir, serta memberi salam kepada mereka dan mengaminkan doa mereka maka Allah akan mengampunkan mereka kecuali empat kumpulan : Peminum arak, penderhaka ibu bapa, pemutus siltarurrahmi dan individu yang sedang bermusuhan.

5) Malam itu juga disebutkan sebagai malam yang sejahtera.
Hinggakan Syaitan juga tidak mampu untuk melakukan kejahatan dalamnya. (Tafsir Ibn Kathir, 4/531 ; Al-Qurtubi, 20/134 ) . Sejahtera dan keberkatan ini akan berterusan sehingga naik fajar dan bukannya pada saat tertentu sahaja. Hal ini juga di sebutkan dari firman Allah dalam surah al-Qadr.

6) Diampunkan dosa terdahulu bagi sesiapa yang menghidupkannya dengan iman, ikhlas dan mengharap redha Allah;
Ia berdasarkan hadith sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim. (Fath al-Bari, 4/251)
Hidup kita adalah pendek, panjangkan ia dengan amal jariah dan amalan soleh melebihi seribu bulan.



Tuesday, September 16, 2008

Catatan 14 September 2008


Kira-kira jam 3:00 petang, aku terasa badan Azri dah panas..demam rupanya. Dia berbaring di ruang tamu sambil menonton tv rancangan kartun. Sekali-sekali dia merengek serta menangis. Dia tertidur setelah minum susu. Emaknya mengambil tuala basah dan diletakkan di dahi Azri untuk menurunkan suhu badan.
Jam 6:30 petang dia terjaga dan menangis. Suhu badannya makin naik. Aku terus ke klinik berdekatan walau pun menyedari waktu berbuka hampir dan klinik mungkin ditutup. Alhamdulillah, aku tiba tepat waktunya dan sempat juga membeli ubat demam sebelum klinik tersebut ditutup.
Bila aku sampai di rumah, dia sedang makan sup ayam..nampak berselera betul. Kadang-kadang di kala sakit, memang selera makan agak kurang walau pun ada makan lazat dihidang di depan mata. Syukurlah, Azri ada selera untuk makan ketika itu. Dia memang sukakan sup.
Dia tidur semula selepas makan ubat.
Semoga dia cepat sembuh.

Berbuka Puasa @ Awana Genting Highlands Golf & Country Resort

Alhamdulillah, dapat makan free lagi.
Pada hari Jumaat lepas, aku menghadiri mesyuarat bersama sub kontraktor, konsultan serta pelanggan di Genting Sempah pada jam 3:30 petang. Sebelum tu, aku agak sibuk dengan discussion dengan pelanggan di Taman Desa, Kuala Lumpur di sebelah tengahari. Aku berhajat hendak menunaikan solat Jumaat di Taman Desa sahaja memandangkan hari pun dah tengahari...boleh rehat sekejap sebelum bertolak ke Genting Sempah.
Tiba-tiba sahaja ada panggilan dari pembekal yang sudah berada di bengkel kami. Dia memaklumkan ada sedikit masalah dengan produk kami. Oleh kerana bos aku sibuk dan rakan lain pula sibuk dengan tugasan lain, aku pun terpaksa bergegas pulang ke Kajang. Lebih kurang jam 12:45 tengahari, baru aku tiba dan terus berbincang dengan pembekal tersebut. Setelah dapat menyelesaikan masalah, aku pun terus bergegas ke surau Saujana Impian untuk solat Jumaat. Pada ketika itu, khatib baru sahaja memulakan khutbah pertama.
Setelah selesai solat Jumaat, aku pulang semula ke pejabat apabila menyedari aku tertinggal fail. Setelah mencapai fail, aku pun terus memandu ke Genting Sempah dengan keadaan agak sesak sedikit di MRR2.
Walau pun tiba jam 3:30 petang, namun mesyuarat hanya bermula setelah hampir semua hadir pada jam 4:00 petang. Nasib baik tiada banyak komen dari pelanggan mau pun konsultan tentang bahagian yang membabitkan bahagian kami.
Mesyuarat selesai jam 6:30 petang dan aku terus menunaikan solat Asar. Lepas itu, kontraktor utama menjemput kami untuk berbuka puasa di Awana. Pada mulanya, aku agak keberatan nak menerima pelawaan tersebut kerana aku lebih suka balik terus ke Kajang. Namun, aku pun bersetuju akhirnya kerana hendak menjaga hati kontraktor utama..maklumlah ini adalah projek sulung dengan syarikat tersebut.
Aku yang ditemani oleh seorang rakan sub kontraktor (dia takut nak pandu seorang mendaki bukit ke Awana) terus memandu ke Awana. Oleh kerana aku pun tak biasa, aku pun memandu agak perlahan di jalan yang berliku itu. Namun, aku perhatikan banyak kereta mewah yang dipandu laju..maklumlah, diorang tu dah biasa dengan kawasan tu.
Setelah tiba, kami terus ke salah sebuah restoran di hotel tersebut..tak ingat namanya. Sempat juga aku lihat harga buffet Ramadhan yang ditawarkan...RM50.00++ untuk dewasa dan RM25.00++ untuk kanak-kanak. Aku secara peribadi tidaklah berhajat sangat makan di situ dengan harga tersebut. Biasanya makan malam bersama keluarga di restoran biasa pun tak sampai RM40.00! Oh ya..salah satu menu yang menarik perhatian aku adalah sup buntut!..apa dia sup buntut? Kemudian, rakan aku sendiri yang beritahu yang sup buntut itu adalah sup ekor!...oh i see:)
Setelah selesai menikmati juadah berbuka puasa serta sedikit perbincangan, aku beredar kira-kira jam 9:50 malam (asalnya nak stay sampai pukul 8:30 malam) dan menghantar rakan tadi ke kawasan rehat Genting Sempah sebelum bertolak ke Kajang.

Thursday, September 11, 2008

Berbuka Puasa @ Impian Golf & Country Club

Setiap tahun pihak pengurusan syarikat mengadakan majlis berbuka puasa untuk kakitangan. Majlis tersebut diadakan semalam, Rabu, 10 September 2008 di Impian Golf & Country Club (IGCC) di Kajang.
Tengahari sebelum itu, aku berkunjung ke tempat tersebut untuk buat tempahan dan bayaran untuk 17 dewasa dan seorang kanak-kanak. Harga buffet Ramadhan adalah RM27.00 nett untuk ahli dan RM35.00 nett untuk bukan ahli. Oleh kerana aku bukan ahli, pihak IGCC mengesyorkan aku membeli voucher buffet Ramadhan bernilai RM27.00 setiap satu yang dijual dalam satu buku yang mengandungi 10 helai voucher. Jadi jumlah yang dibayar adalah RM27.00 x 2 buku x 10 helai voucher = RM540.00. Dua orang kanak-kanak berkongsi satu voucher. Jadi ada baki dua helai voucher yang boleh digunakan pada bila-bila masa di sepanjang bulan Ramadhan ini.
Kalau aku bayar dengan harga bukan ahli, jumlah yang dikenakan adalah RM35.00 x 17 dewasa + RM17.50 x 1 kanak-kanak = RM612.50. Jadi, aku dah jimat sebanyak RM612.50 - RM540.00 = RM72.50! Jimat tu..!
Oleh kerana sibuk dengan 'site visit' di Bangi serta berjumpa dengan pembekal di Seksyen 16, Shah Alam pada petang tu, aku lah orang terakhir tiba di coffee house IGCC. Ketika itu, kakitangan aku serta para tetamu lain sedang menikmati juadah berbuka puasa. Aku ambil keputusan untuk minum segelas air oren serta sedikit buah-buahan sebelum pergi ke surau untuk solat Maghrib.
Setelah selesai solat, aku terus ke coffee house untuk berbuka dengan juadah yang berat sikit. Alamak! Nasi sudah habis! Menurut kakitangan coffee house, nasi akan disediakan dalam tempoh 20 minit lagi. Kecewa juga rasanya kerana tak dapat makan nasi. Aku terus ambil kueh teow goreng dan segelas air sementara menunggu nasi. Dalam masa yang sama, terdengar juga rungutan para tetamu lain kerana ketiadaan nasi.
Setelah lama menunggu, akhirnya nasi pun dihidangkan. Malangnya, lauk pauk pula banyak yang habis! Rasa macam tiada selera pula nak makan nasi. Namun, aku ambil juga nasi dengan telur itik masak lemak serta sedikit daging...sayur pun dah habis.
Aku tetap bersyukur dengan rezeki yang ada...ingatlah, ada juga insan lain yang sukar mencari sesuap nasi.
Lebih kurang jam 8:30 malam, aku pun meninggalkan coffee house menuju ke tempat letak kereta. Alamak...antenna kereta pula dicuri orang!

Thursday, September 4, 2008

Gambar-gambar Perarakan Hari Merdeka ke 51
































Catatan 31 Ogos 2008

Pagi tu, aku berdua dengan anak ketiga, Kakcik, bersiap untuk menyaksikan perarakan Hari Merdeka ke 51 di Kuala Lumpur. Isteri dan anak-anak yang lain tidak ikut serta kerana tidak berminat dengan acara perarakan hari kemerdekaan ini.

Walau pun menyedari tangki minyak sudah menunjukkan hampir habis, aku terus juga memandu kerana yakin balik nanti sempat juga mengisi minyak. Lagi pun, aku tak mahu lewat tiba di Kuala Lumpur.
Setibanya di stesen komuter Rawang, aku terus ke kaunter tiket. Ketika menyeluk poket untuk mengeluarkan wang, baru aku sedar yang aku terlupa membawa dompet! Oleh kerana dompet itu mengandungi kad pengenalan, lesen memandu serta wang tunai, terpaksalah juga pulang ke rumah untuk mengambil dompet. Setelah kembali ke rumah, aku terus ambil dompet dan bergegas ke stesen Rawang. Namun, aku terpaksa juga berhenti untuk mengisi minyak kerana takut tak tersangkut di tengah jalan pulak nanti.

Di stesen komuter Rawang, kelihatan ramai juga yang datang bersama keluarga dengan tujuan yang sama..untuk menyaksikan perarakan Hari Merdeka.

Jam 8:05 pagi, tren mula meninggalkan stesen Rawang dengan perjalanan agak perlahan. Selain daripada warga Malaysia, terdapat juga warga asing yang memenuhi tren tersebut.

Kami serta kebanyakan penumpang turun di hentian Bank Negara dan terus menuju ke Jalan Raja Laut. Sempat jugak aku membeli sedikit makanan untuk mengalas perut kami berdua yang belum sempat menjamah sarapan.

Lebih kurang 10 minit menunggu, akhirnya perarakan pun bermula dengan pancaragam dari tentera darat. Kakcik merasa amat seronok melihat perarakan tersebut kerana inilah kali pertama melihat acara ini secara 'live'.

Sempat jugak aku merakam beberapa keping gambar walau pun ada jugak yang agak kabur, terutama sekali gambar pesawat yang terbang di udara. Namun, ada sekeping gambar yang mana ada seorang personaliti sukan yang diambil secara tak sengaja...iaitu Datuk Lee Chong Wei, yang memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Beijing baru-baru ini.


Setelah selesai acara perarakan, kami menaiki komuter menuju ke KL Sentral. Kakcik yang teringinkan cheese burger mengajak aku ke McDonald's. Namun ketika itu cuma sarapan sahaja yang disediakan. Terpaksalah kami berdua makan bubur nasi dan milo ais. Kemudian kami terus pulang ke Rawang.


Walau pun kepenatan, namun aku amat berpuas hati kerana dapat meluangkan masa bersama dengan Kakcik.

Monday, September 1, 2008

Adab Berbuka Puasa Menurut Sunnah Rasulullah SAW


Adab-adab berhubung ibadat mestilah merujuk kepada ajaran yang ditunjuk oleh Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w., iaitu al-Quran dan sunah. Ada sebahagian pihak yang cenderung mencipta adab-adab ibadah tanpa merujuk kepada dua sumber agung itu, misalnya dakwaan yang menyatakan makruh mandi terlalu kerap, atau mandi pada hampir waktu berbuka kerana ia boleh mengurangkan keletihan dan sekali gus menghilangkan kelebihan puasa.
Sedangkan di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud di dalam sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:

“Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan:
“Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kepalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabat bahawa mereka melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”
(Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, cetakan Dar al-Fikr, Beirut).

Yang penting di dalam bulan Ramadan ini adalah adab-adab yang kita kaitkan dengan ibadah puasa mestilah mempunyai asas yang boleh dipegang, iaitu al-Quran atau sunah. Antara adab-adab berbuka puasa yang dinyatakan di dalam hadis:

1. Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta’jil al-Iftar. Ini berdasarkan hadis-hadis yang menyebut perkara ini, antaranya: Daripada Sahl bin Sa`ad bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa."
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunah Nabi s.a.w., iaitu Baginda menyegerakan berbuka puasa. Ini menolak dakwaan ajaran-ajaran karut yang kononnya melewatkan berbuka menambah pahala. Kata at-Tibi (meninggal 743H):

“Barangkali sebab Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa, ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat, membolehkannya menunaikan solat dengan dihadirkan hati. Juga ia menyanggahi ahli bidaah yang berpendapat wajib melewatkannya.”
(at-Tibi, Syarh Miskhat al-Masabih, 4/183, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Berut).

2. Berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu’jam al-Wasit 1/88). Sekarang di negara kita rutab sudah mula dikenali. Ia kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ia mengecut dipanggil tamar. Di dalam hadis daripada Anas katanya:

“Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air.”
(Riwayat Imam Ahamd dan Tirmizi, katanya hadis ini hasan) Al-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadis ini. (lihat: al-Ahadith al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, Mekah).

Inilah tertib yang dilakukan oleh Baginda, pilihan pertama ialah rutab, jika tiada tamar dan jika tiada air. Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H):
“Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada, maka dengan tamar, dan sekiranya tiada, maka dengan air. Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zam-zam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah, namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air.”
(al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut).

Di samping itu, dakwaan jika tiada tamar, maka dengan buah-buahan yang lain juga tiada sebarang dalil daripada sunah Nabi s.a.w.

3. Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan. Hadis yang kita nyatakan di atas menunjukkan Baginda Nabi s.a.w. berbuka dengan rutab atau tamar atau air sebelum bersolat Maghrib. Maka kita disunatkan juga mengikuti langkah tersebut, iaitu selepas berbuka dengan perkara-perkara tadi, lantas terus menunaikan solat. Ini sekiranya makanan belum dihidangkan. Adapun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata, maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat. Ini berdasarkan apa yang dinyatakan dalam hadis-hadis baginda Nabi s.a.w. antaranya:

Daripada Anas bin Malik r.a.: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar, Baginda s.a.w. bersabda:
“Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesa.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Riwayat di atas juga menambah:
Bahawa Ibn Umar r.a. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan, sedangkan beliau mendengar bacaan imam. Ini kerana meninggalkan makanan dalam keadaan keinginan yang kuat untuk menjamahnya atau dalam perasaan lapar, boleh menghilangkan khusyuk di dalam solat, disebabkan ingatan terhadap makanan tersebut. Dengan itu para ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata. Kata an-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.
(An-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, cetakan: Dar al-Khair, Beirut).
Sebenarnya bukan pada makan malam atau solat Maghrib sahaja kita disunatkan mendahulukan makanan yang dihidang sebelum solat, bahkan sunah ini meliputi semua solat dan waktu makan kerana dibimbangi menghilangkan khusyuk. Ini sekiranya makanan telah terhidang di depan mata. Al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut:
“Hadis tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat Maghrib. Namun ia juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk.”
(al-Munawi, Faidh al-Qadir, 1/295, cetakan: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Mesir).

Malangnya ada di kalangan yang kurang faham, lalu mereka menyatakan bahawa kalau azan sudah berkumandang, hidangan dan makanan hendaklah ditinggalkan demi mengutamakan solat jemaah. Inilah kedangkalan meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w., lalu mengandaikan agama dengan emosi sendiri.

Adapun sekiranya makanan belum terhidang atau perasaan keinginan terhadap makanan tiada, maka tidaklah dimakruhkan untuk terus solat. Ini bukanlah bererti kita disuruh mementingkan makanan melebihi solat, sebaliknya tujuan arahan Nabi s.a.w. ini ialah untuk memastikan kesempurnaan solat. Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H):
“Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah.”
(Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, 2/385, cetakan: dar al-Fikr, Beirut).

4. Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. maksudnya:
"Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan."
(Surah al-`Araf:31).

Di dalam hadis Baginda s.a.w. menyebut:
Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.”
(Riwayat Tirmizi, katanya: hadis ini hasan sahih. Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan hadis ini hasan).

Hadis ini salah difahami oleh sesetengah pihak, lalu mereka menyangka Nabi s.a.w. menyuruh umatnya jika makan, hendaklah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan. Sebenarnya jika kita teliti hadis ini bukan demikian, pembahagian tersebut ialah had maksimum. Kalau boleh kurang daripada itu. Sebab itu Baginda menyebut jika tidak dapat, maka tidak melebihi pembahagian tadi. Namun yang lebih utama digalakkan sekadar yang dapat memberi tenaga.

5. Berdoa ketika berbuka. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.:
“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.”
(Riwayat Ibn Majah, sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ishaq bin ‘Abd Allah al-Madani dithiqahkan oleh Abu Zur’ah dan disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif ).

Maka kita boleh berdoa dengan apa sahaja doa yang kita hajati. Doa orang berpuasa makbul disebabkan jiwa yang telah dibersihkan daripada kotoran dosa dan syahwat. Justeru itu al-Munawi menyebut:
”Hadis di atas hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan tanggungjawab puasa dengan menjaga lidah, hati dan anggota.”
(Faidh al-Qadir, 2/500).

Di sana ada doa yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. ketika berbuka dan disunatkan kita membacanya:
“Adalah Rasulullah s.a.w. apabila berbuka, Baginda bersabda: Telah hilanglah dahaga, telah basahlah peluh (hilang kekeringan) dan telah tetaplah pahala, insya-Allah.”
(Riwayat Abu Daud, sanadnya hasan)
Namun setiap orang yang menunaikan puasa dengan sepenuhnya, hendaklah merebut peluang doa yang makbul ketika dia berbuka.

Berdoa kepada sesiapa yang menjamu kita berbuka, kata Anas r.a.:
“Baginda s.a.w. pernah datang kepada (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat.”
(Riwayat Abu Daud, Diya al-Maqdisi dalam Al-Ahadith al-Mukhtarah menyatakan ia sahih 5/158). Maka berdoalah kepada mereka yang menjamu kita berbuka puasa. Ini adab yang sangat baik.

Demikian senarai adab-adab yang terkandung di dalam sunah Nabi s.a.w. ketika berpuasa. Semoga pengamalan adab-adab ini menambahkan lagi pahala puasa kita.