Monday, April 30, 2012

Umrah & Ziarah: Perjalanan ke Medinah

Sabtu, 24 Mac 2012
Tiba di KLIA pada kira-kira jam 4:00 petang.
Aku terus ke kaunter 'check-in' Emirates dan berjumpa dengan wakil dari syarikat pelancongan untuk menyerahkan bagasi.
Jam 5:30 petang, taklimat ringkas oleh wakil syarikat.  Pasport serta boarding pas dikembalikan kepada semua jemaah seramai 24 orang.
Jam 6:30 petang, aku pun bersama rakan sekerja yang turut pergi bersama dalam rombongan ini terus menuju ke kaunter imigresen dan seterusnya ke balai berlepas.
Jam 7:15 malam, kami telah pun memasuki ke dalam pesawat Emirates Boeing 777.  Sempat juga aku menghubungi ibu ku serta menghantar SMS kepada isteri serta rakan-rakan sebelum pesawat mula bergerak meninggalkan KLIA kira-kira setengah jam selepas itu.



Penerbangan EK347 dari Kuala Lumpur ke Dubai mengambil masa hampir 7 jam.
Tiba di Dubai kira-kira jam 10:30 malam waktu tempatan (jam 2:30 pagi waktu Kuala Lumpur).
Rasa keletihan dan mengantuk ketika menjejak di lapangan terbang Dubai.  Maklumlah, tak dapat tidur dengan nyenyak sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur.  Lagi pun, sekarang dah pukul 2:30 pagi waktu Kuala Lumpur. 
Kami terus ke boarding gate yang ditetapkan untuk penerbangan seterusnya ke Jeddah.   Jauh juga berjalan kaki dari arrival gate ke boarding gate - mungkin antara 200 - 300 meter. 
Ada juga salah seorang ahli rombongan mengambil kesempatan membeli-belah di kedai bebas cukai.  Aku tersenyum bila melihat gelagatnya yang sudah mula membeli-belah di Dubai.  Di Medinah dan Makkah nanti, mungkin banyak lagi barang yang akan dibelinya.




Ahad, 25 Mac 2012
Pesawat EK807 Airbus A330 berlepas dari Dubai pada jam 1:15 pagi (waktu Dubai) dan tiba di Medinah pada jam 3:00 pagi (waktu Medinah).
Kira-kira setengah jam sebelum mendarat, kelihatan seorang pramugari sedang melayan seorang penumpang di hadapan ku.  Penumpang tersebut sedang membeli barang yang dijual di dalam pesawat. Pramugari tersebut kelihatan agak sukar melakukan transaksi kad kredit - mungkin ada masalah komunikasi dengan pusat kad kredit.  Namun akhirnya berjaya juga transaksi tersebut.  Hati kecil ku tertanya-tanya siapakah gerangan penumpang tersebut yang membeli ketika pesawat sedang menghampiri Medinah.  Baru aku sedar penumpang tersebut rupanya salah seorang jemaah kami yang juga orang sama membeli-belah di Dubai.
Setelah selesai urusan imigresen di lapangan terbang Medinah, kami disambut oleh wakil syarikat pelancongan dan dibawa ke hotel di Medinah dengan bas.

No comments: