Friday, April 13, 2012

Umrah & Ziarah: Persiapan Sebelum Berangkat




Sebelum berangkat ke Tanah Suci, kena buat persiapan dahulu bagi melancarkan perjalanan.

Tiga minggu sebelum berangkat, aku dah pun menyerahkan pasport antarabangsa bersama gambar mengikut saiz yang dikehendaki oleh pihak kedutaan Arab Saudi bagi mendapatkan visa umrah. Sebelum tu, aku dah pun semak pasport tu masih sah lakunya. Biasanya tempoh sah laku pasport hendaklah sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum tarikh tamat tempoh.

Selain daripada itu, buku rekod kesihatan mengenai suntikan 'meningitis' hendaklah diserahkan bersama. Malangnya, aku tak sempat menyerahkan bersama memandangkan beberapa klinik yang dihubungi tidak mempunyai stok. Dan ada pula yang cajnya agak mahal, iatu dari RM160 hingga hampir RM200. Akhirnya, dapat juga mendapat suntikan tersebut di sebuah klinik di Jalan Semenyih, Kajang dengan caj RM119 sahaja. Buku rekod kemudiannya diserahkan kepada agensi yang menguruskan umrah.

Walau pun pernah menunaikan ibadah umrah sebanyak 3 kali sebelum ini, tidaklah bermakna aku dah mahir dalam hal mengerjakan ibadah umrah ini. Oleh itu, aku pun mengikuti kursus umrah yang dianjurkan agensi pelancongan tersebut. Banyak juga yang dapat aku pelajari di sepanjang kursus tersebut.

Seminggu sebelum berlepas, ayah ku meminjamkan 2 pasang kain ihramnya serta tali pinggang kepada ku. Alhamdulillah, tak perlu beli baru. Namun aku cuma membawa sepasang saja memandangkan bukannya lama sangat berada di Makkah. Lagi pun sepasang tu sahaja memakan ruang yang banyak dalam beg.

Dua hari sebelum berangkat, aku menukarkan wang ringgit kepada riyal iaitu sebanyak RM420 kepada SAR500. Ini bermakna kadar tukaran bagi membeli Saudi Riyal adalah SAR100 bersamaan dengan MYR84 pada ketika itu. Bagi diri ku, wang sebanyak SAR500 adalah memadai untuk perbelanjaan sepanjang masa berada di sana nanti. Kalau tak cukup, bawa juga beberapa ratus ringgit Malaysia - mana tau kot ada keperluan lain pula.

Dan akhir sekali, ubat-ubatan seperti panadol dan minyak angin. Dan jangan lupa selipar bagi memudahkan keluar-masuk masjid.

Sekarang tunggu masa untuk berangkat je...


No comments: