Tuesday, May 1, 2012

Umrah & Ziarah: Medinah (Bhg I)


Ahad, 25 Mac 2012
Kira-kira jam 4:30 pagi, kami keluar dari terminal lapangan terbang Medinah dan terus menuju ke arah bas yang sedang menunggu kami.  Pada ketika itu, waktu subuh adalah kira-kira jam 5:00 pagi dan solat subuh berjemaah di Masjid Nabawi kira-kira setengah jam kemudian.
Kami tiba di Hotel Sofraa al Huda kira-kira jam 5:10 pagi untuk check-in.  Namun dimaklumkan kami akan check-out selepas makan tengahari memandangkan hotel tersebut telah penuh untuk malam-malam yang berikut dan terpaksa menginap di hotel sebelah.
Oleh kerana rakan sebilik demam, aku mengambil keputusan untuk solat subuh di hotel kerana ingin menemaninya kerana takut beliau mungkin perlukan bantuan.
Setelah sarapan pagi, berehat seketika di bilik dan tidak dapat bersama jemaah lain akan menziarahi makam Rasulullah SAW serta perkuburan Baqi'.  Sebaliknya selepas rehat sebentar, aku terus keluar mencari kedai farmasi untuk mendapatkan ubat yang dipanggil 'Flutab' seperti yang disyorkan oleh wakil syarikat pelancongan.  Walau bagaimana pun, kesihatan beliau tidak menentu - sekejap pulih, sekejap sakit - mungkin disebabkan faktor cuaca di sini.
Selepas makan tengahari, kami berpindah ke Royal Dyar Hotel pula.
Sepanjang hari ini tiada sebarang aktiviti yang dilakukan - hanya ditumpukan kepada ibadah sahaja.
Untuk pengetahuan, waktu zohor ketika ini adalah lebih kurang jam 12:30 tengahari, asar jam 3:55 petang, maghrib pada jam 6:35 petang manakala isyak lebih kurang jam 8:05 malam.

Isnin, 26 Mac 2012
Pagi ini berziarah di sekitar Medinah seperti Masjid Quba', ladang & pasar tamar serta Uhud.



Masjid Quba'




Masjid Quba'
 


Pasar Tamar
 


Pasar Tamar
 



Bukit yang menempatkan pasukan pemanah tentera Islam sewaktu Perang Uhud
 


Tanah perkuburan para syuhada di Uhud
 


Monday, April 30, 2012

Umrah & Ziarah: Perjalanan ke Medinah

Sabtu, 24 Mac 2012
Tiba di KLIA pada kira-kira jam 4:00 petang.
Aku terus ke kaunter 'check-in' Emirates dan berjumpa dengan wakil dari syarikat pelancongan untuk menyerahkan bagasi.
Jam 5:30 petang, taklimat ringkas oleh wakil syarikat.  Pasport serta boarding pas dikembalikan kepada semua jemaah seramai 24 orang.
Jam 6:30 petang, aku pun bersama rakan sekerja yang turut pergi bersama dalam rombongan ini terus menuju ke kaunter imigresen dan seterusnya ke balai berlepas.
Jam 7:15 malam, kami telah pun memasuki ke dalam pesawat Emirates Boeing 777.  Sempat juga aku menghubungi ibu ku serta menghantar SMS kepada isteri serta rakan-rakan sebelum pesawat mula bergerak meninggalkan KLIA kira-kira setengah jam selepas itu.



Penerbangan EK347 dari Kuala Lumpur ke Dubai mengambil masa hampir 7 jam.
Tiba di Dubai kira-kira jam 10:30 malam waktu tempatan (jam 2:30 pagi waktu Kuala Lumpur).
Rasa keletihan dan mengantuk ketika menjejak di lapangan terbang Dubai.  Maklumlah, tak dapat tidur dengan nyenyak sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur.  Lagi pun, sekarang dah pukul 2:30 pagi waktu Kuala Lumpur. 
Kami terus ke boarding gate yang ditetapkan untuk penerbangan seterusnya ke Jeddah.   Jauh juga berjalan kaki dari arrival gate ke boarding gate - mungkin antara 200 - 300 meter. 
Ada juga salah seorang ahli rombongan mengambil kesempatan membeli-belah di kedai bebas cukai.  Aku tersenyum bila melihat gelagatnya yang sudah mula membeli-belah di Dubai.  Di Medinah dan Makkah nanti, mungkin banyak lagi barang yang akan dibelinya.




Ahad, 25 Mac 2012
Pesawat EK807 Airbus A330 berlepas dari Dubai pada jam 1:15 pagi (waktu Dubai) dan tiba di Medinah pada jam 3:00 pagi (waktu Medinah).
Kira-kira setengah jam sebelum mendarat, kelihatan seorang pramugari sedang melayan seorang penumpang di hadapan ku.  Penumpang tersebut sedang membeli barang yang dijual di dalam pesawat. Pramugari tersebut kelihatan agak sukar melakukan transaksi kad kredit - mungkin ada masalah komunikasi dengan pusat kad kredit.  Namun akhirnya berjaya juga transaksi tersebut.  Hati kecil ku tertanya-tanya siapakah gerangan penumpang tersebut yang membeli ketika pesawat sedang menghampiri Medinah.  Baru aku sedar penumpang tersebut rupanya salah seorang jemaah kami yang juga orang sama membeli-belah di Dubai.
Setelah selesai urusan imigresen di lapangan terbang Medinah, kami disambut oleh wakil syarikat pelancongan dan dibawa ke hotel di Medinah dengan bas.

Friday, April 13, 2012

Umrah & Ziarah: Persiapan Sebelum Berangkat




Sebelum berangkat ke Tanah Suci, kena buat persiapan dahulu bagi melancarkan perjalanan.

Tiga minggu sebelum berangkat, aku dah pun menyerahkan pasport antarabangsa bersama gambar mengikut saiz yang dikehendaki oleh pihak kedutaan Arab Saudi bagi mendapatkan visa umrah. Sebelum tu, aku dah pun semak pasport tu masih sah lakunya. Biasanya tempoh sah laku pasport hendaklah sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum tarikh tamat tempoh.

Selain daripada itu, buku rekod kesihatan mengenai suntikan 'meningitis' hendaklah diserahkan bersama. Malangnya, aku tak sempat menyerahkan bersama memandangkan beberapa klinik yang dihubungi tidak mempunyai stok. Dan ada pula yang cajnya agak mahal, iatu dari RM160 hingga hampir RM200. Akhirnya, dapat juga mendapat suntikan tersebut di sebuah klinik di Jalan Semenyih, Kajang dengan caj RM119 sahaja. Buku rekod kemudiannya diserahkan kepada agensi yang menguruskan umrah.

Walau pun pernah menunaikan ibadah umrah sebanyak 3 kali sebelum ini, tidaklah bermakna aku dah mahir dalam hal mengerjakan ibadah umrah ini. Oleh itu, aku pun mengikuti kursus umrah yang dianjurkan agensi pelancongan tersebut. Banyak juga yang dapat aku pelajari di sepanjang kursus tersebut.

Seminggu sebelum berlepas, ayah ku meminjamkan 2 pasang kain ihramnya serta tali pinggang kepada ku. Alhamdulillah, tak perlu beli baru. Namun aku cuma membawa sepasang saja memandangkan bukannya lama sangat berada di Makkah. Lagi pun sepasang tu sahaja memakan ruang yang banyak dalam beg.

Dua hari sebelum berangkat, aku menukarkan wang ringgit kepada riyal iaitu sebanyak RM420 kepada SAR500. Ini bermakna kadar tukaran bagi membeli Saudi Riyal adalah SAR100 bersamaan dengan MYR84 pada ketika itu. Bagi diri ku, wang sebanyak SAR500 adalah memadai untuk perbelanjaan sepanjang masa berada di sana nanti. Kalau tak cukup, bawa juga beberapa ratus ringgit Malaysia - mana tau kot ada keperluan lain pula.

Dan akhir sekali, ubat-ubatan seperti panadol dan minyak angin. Dan jangan lupa selipar bagi memudahkan keluar-masuk masjid.

Sekarang tunggu masa untuk berangkat je...


Sunday, April 8, 2012

Catatan 08 April 2012

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Syukur alhamdulillah, dapat bersua kembali di blog yang telah ditinggalkan. Rupa-rupanya dah lebih dua tahun aku tak update blog ini. Mengapa ya? Mungkin disebabkan begitu sibuk dengan tugas harian di pejabat dan seringkali pulang lewat, maka tiada kesempatan untuk update blog ini. Lagi pun, dah tak ada bahan untuk dipaparkan. Kalau ada kesempatan pun cuma layan facebook je sekarang. Oh ya...kalau ada sesiapa yang ada akaun facebook, harap sudi add saya di amir_my2001@yahoo.com atau Amir Mohd Amin.

Alhamdulillah, aku baru sahaja kembali ke tanah air pada hari Khamis, 05 April 2012, setelah menjalani ibadah umrah serta ziarah di kota suci Makkah dan Medinah hampir dua minggu. InsyaAllah, bila ada kesempatan, akan ku ceritakan pengalaman ku selama berada di sana serta akan dimuatkan gambar-gambar untuk dikongsi bersama.

InsyaAllah, jumpa lagi nanti...Wassalamualaikum...:)