Hari ini, 01 Mei 2009, merupakan cuti umum sempena dengan perayaan Hari Pekerja. Ramai yang mengambil kesempatan cuti tiga hari (Jumaat, Sabtu dan Ahad) untuk pulang ke kampung atau melancong.
Namun ada juga yang terpaksa bekerja di hari ini, termasuk penulis sendiri. Ini adalah kerana terpaksa bertungkus lumus untuk menyiapkan dokumen tender yang akan dihantar pada hari Selasa minggu depan.
Penulis tiba di pejabat kira-kira jam 10:00 pagi dan bos pun sudah tiba lebih awal lagi. Cuma kami berdua sahaja berada di pejabat untuk menyiapkan tender tersebut. Kebanyakan staf pulang ke kampung. Ada seorang staf yang baru sebulan bekerja ambil cuti sejak hari Khamis lalu kerana persiapan untuk majlis pertunangannya pada hari ini.
Penulis keluar dari pejabat ketika azan zohor dilaungkan. Penulis tiba di Surau Saujana Impian ketika khatib sedang berkhutbah. Penulis tidak menjangka di hari cuti umum ini surau tersebut sudah pun dipenuhi oleh para jemaah sehingga terpaksa solat di luar.
Selepas solat Jumaat, penulis terus ke Tesco Kajang berhampiran untuk makan tengahari di medan selera. Jam 3:00 petang tiba semula di pejabat untuk menyambung tugasan.
Aduh...! Banyak juga dokumen perlu disediakan. Nampak gayanya memang tak boleh disiapkan pada hari ini. Terpaksa juga datang esok. Harap-harap hari Isnin semuanya dapat dibereskan sebelum dikemukakan keesokan harinya.
Oh ya...Selamat Menyambut Hari Pekerja!
No comments:
Post a Comment