Tuesday, April 7, 2009

Catatan 05 April 2009

Jam 8:30 malam, aku bersama Angah dan Azri berlepas ke Taman Setiawangsa, KL. Ketika itu, hujan turun renyai-renyai. Aku sebenarnya bukanlah suka sangat meredah ke KL pada waktu malam hari Ahad memandangkan keesokan paginya kena bergegas untuk ke pejabat.

Memandangkan Angah dapat kerja sementara berhampiran dengan tempat tinggal kawannya, aku pun terpaksalah menghantarnya.

Kira-kira kurang satu kilometer sebelum tiba tol plaza Jalan Duta, kelihatan penuh sesak kenderaan. Aku tidak boleh berbuat apa-apa, terpaksalah terperangkap juga di dalam kesesakan tersebut.

Aku terpaksa memandu perlahan sambil mencari ruang untuk aku memasuki lorong sebelah. Ada juga sebahagian pemandu yang menggunakan lorong kecemasan, namun terkandas apabila sebuah bas ekspres seolah sengaja menghimpit lorong kecemasan tersebut.

Aku terfikir juga mengapa tak 'topup' touch n go sebelum keluar dari tol plaza Rawang. Tapi teringat pula sebelum tu kaunter 'topup' di tol plaza Rawang ditutup - dibuka hanya pada waktu tertentu sahaja.

Dalam kesesakan tersebut, sempat juga aku mengambil beberapa keping gambar dengan menggunakan handphone Angah. Malah Azri pun juga mengambil peluang menangkap gambar - dia minat dengan bas ekspres dua tingkat tu.

Aduh! Penatnya kaki asyik menekan 'clutch'...


Apa yang aku kesalkan ialah tiadanya sistem VMS (Variable Message Signs) dipasang dalam perjalanan menuju ke Tol Jalan Duta dari arah Rawang. Sekurang-kurangnya dengan wujudnya VMS (seperti gambar di bawah) dapat memaklumkan pengguna lebuhraya tentang berlakunya kesesakan di Plaza Tol Jalan Duta. Sudah tentu para pengguna boleh mencari alternatif untuk ke Kuala Lumpur - mungkin melalui exit Sg Buloh, Damansara, dsb.



Akhirnya kami berjaya juga melepasi Plaza Tol Jalan Duta. Nampak gayanya, DUKE yang menghubungi terus ke Setiawangsa belum siap sepenuhnya. Jadi aku terus memandu ke arah Jalan Kuching, memasuki Jalan Tun Razak, dan membelok ke Jalan Pahang/Genting Klang dan seterusnya ke Setiawangsa melalui Wangsa Maju.

Setelah meninggalkan Angah di rumah kawannya, kami berdua terus pulang (Azri sudah pun terlena). Aku memandu melalui MRR2 dan keluar ikut Tol Plaza Sg Buloh menuju ke Rawang.

Aku tak pasti ketika itu pukul berapa - cuma mengagak sudah pun tengah malam. Setibanya di Tol Plaza Rawang. aku pun membayar RM2.00. Dalam hati ini berasa hairan kerana sebelum ini kalau sudah tengah malam, ada diskaun.

Setibanya di rumah, aku memeriksa resit tol. Rupanya waktu aku sampai di tol plaza tadi menunjukkan jam 11:58 malam - 2 minit sebelum tengah malam. Patutlah tiada diskaun!

No comments: