Sunday, March 1, 2009

Nabi Muhammad Di Dalam Kitab Agama Hindu


Penulis amat tertarik hati serta kagum setelah membaca buku bertajuk “Bukti-bukti Sains dan Sejarah Kerasulan Muhammad (Edisi Kemaskini)” hasil kajian terperinci oleh Dr Danial Zainal Abidin yang diterbitkan oleh PTS Millennia Sdn Bhd. Beliau yang berlatarbelakangkan bidang pengajian perubatan di Universiti Iskandariah, Mesir berjaya menjelaskan pandangan sebenar agama Kristian, Buddha dan Hindu kepada Nabi Muhammad SAW yang selama ini tidak ramai yang mengetahuinya.

Allah SWT menjelaskan di dalam al-Quran bagi setiap umat ada rasulnya. Ini dinyatakan di dalam firmanNya di dalam surah al-Fathir, ayat 24 bermaksud, “Sesungguhnya Kami mengutusmu dengan membawa kebenaran sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan. Dan tidak ada satu umat pun melainkan ada padanya seorang pemberi peringatan.”

Semasa mentafsirkan ayat tersebut, Syeikh Said Hawa di dalam kitabnya al-Asas fit Tafsir berkata, “Ayat ini adalah dalil penting yang menunjukkan bagi setiap umat diutus rasul-rasul tertentu. Dalil ini menolak pendapat sesetengah golongan yang mengatakan rasul-rasul hanya diutus di kawasan-kawasan kita, yakni bumi Arab dan yang berhampiran dengannya sahaja.”

Dalam ruang dan masa yang terhad, tulisan ini cuma memfokuskan tentang Nabi Muhammad seperti yang dinyatakan di dalam Kitab Agama Hindu.

Menurut Dr Ved Prakash Upaddhayaya, pakar bahasa Sanskrit di Universiti Prayag, Muhammad disebut di dalam kitab-kitab Vedas dan Purana dengan empat nama gelaran, iaitu Narashangsa (Yang Terpuji), Antim Rishi (Utusan Terakhir), Kalka Avatar (Utusan Akhir Zaman) serta Mamaha dan Ahamiddhi (Muhammad dan Ahmad).

Narashangsa

Nar dalam bahasa Sanskrit bermaksud ‘manusia’ dan Ashangsa bermaksud ‘yang dipuji’. Justeru, Narashangsa bermaksud ‘Dia yang dipuji’ dan apabila ini dikaitkan dengan peribadi seseorang, ia melambangkan seorang manusia ‘yang terpuji’.

Di antara sifat-sifat Narashangsa seperti yang terdapat di dalam kitab-kitab tersebut adalah:-

* Dia akan menggunakan unta sebagai kenderaan: Memang diketahui umum kenderaan yang sering digunakan oleh Nabi Muhammad adalah unta.

* Dia mempunyai 12 orang isteri: Nabi Muhammad mempunyai 12 orang isteri, iaitu Khadijah, Saudah, Aishah, Hafsah, Zainab binti Khuzaimah, Juwairiyah, Zainab binti Jahsy, Ummi Salamah, Ummu Habibah, Maimunah, Safiyah dan Mariah Kopti.

* Tuhan akan memuliakannya dengan 10 kalungan di leher: Dr Ved Prakash berpendapat, ia adalah kata-kata simbolik yang melambangkan persahabatan yang rapat. Nabi Muhammad dianugerahkan 10 orang sahabat istimewa yang dikenali sebagai ‘yang sepuluh dijamin syurga’. Mereka adalah Abu Bakar, Omar, Othman, Ali, Talha, Zubair bin Awwam, Saad bin Waqqas, Said bin Zaid, Abdul Rahman bin Auf dan Abu Ubaidah bin Jarrah.

* Dia akan menerima anugerah 10,000 ekor lembu: Dr Ved Prakash berpendapat perkataan ‘lembu’ adalah perkataan metafora yang melambangkan golongan yang baik dan berpekerti mulia. Ianya boleh dikaitkan dengan 10,000 orang sahabat Nabi Muhammad yang menguasai kota Makkah bersama-sama baginda pada tahun kelapan Hijrah.

Justeru itu, apabila peribadi Narashangsa dikaitkan dengan sifat-sifat seperti di atas, ianya menepati sifat dan riwayat hidup Nabi Muhammad SAW.

Kalki Avatar

Perkataan Avatar dalam bahasa Sanskrit bermaksud ‘seorang yang bakal datang ke dunia’ dan ianya juga bermaksud ‘nabi’. Kalki pula bermaksud ‘yang terakhir’. Kalki Avatar apabila dicantumkan bermaksud ‘utusan yang terakhir di dunia’ atau ‘nabi akhir zaman’.

Antara sifat-sifat Kalki Avatar seperti yang disebutkan di dalam Purana adalah:-

* “Wahai Tuhan, dengan bantuan empat saudara, aku akan hancurkan syaitan.”: Nabi Muhammad dikurniakan empat orang sahabat kanan, iaitu Abu Bakar, Omar, Othman dan Ali. Keempat-empat sahabat ini kemudiannya menjadi khalifah yang diberi gelaran ‘Khulafa ar-Rasyidin al-Muhdiyin’ iaitu khalifah-khalifah yang mendapat petunjuk.

* “Dia akan dilahirkan pada 12hb Madhav.”: Tarikh lahir Nabi Muhammad adalah 12hb Rabiulawal.

* “Dia akan dilahirkan di bandar Shambhal.”: Di dalam buku Vachaspattam disebutkan, Shambhal adalah kawasan yang mempunyai 60 patung-patung berhala. Dalam bahasa Sanskrit, Shambhal mempunyai beberapa maksud, iaitu:

~ Tempat yang mendatangkan keamanan dan ketenangan.
~ Sesuatu yang menarik perhatian orang supaya datang.
~ Tempat yang berhampiran dengan air.

Shambal selari dengan Makkah tempat kelahiran Nabi Muhammad. Kaabah ketika itu dikelilingi patung-patung berhala sebelum dimusnahkan. Makkah juga adalah tempat yang mempunyai sumber air (zamzam) yang tidak pernah kering di samping menjadi tumpuan manusia berkunjung terutamanya jemaah haji serta kawasan yang aman.

* Kitab tersebut juga menyatakan bapanya bernama Vishnu-Yash manakala ibunya bernama Sumati.: Vishnu-Yash dalam bahasa Sanskrit bermaksud ‘penyembah atau hamba Tuhan’. Ini selari dengan nama Abdullah dalam bahasa Arab bermaksud ‘hamba kepada Tuhan’. Bapa Nabi Muhammad bernama Abdullah. Manakala Sumati dalam bahasa Sanskrit bermaksud ‘yang bertimbang rasa lagi baik’. Ini selari dengan nama Aminah dalam bahasa Arab bermaksud ‘yang baik hati’. Ibu Nabi Muhammad bernama Aminah.


Ahamiddhi

Di dalam kitab Veda disebutkan, “Ahamiddhi mendapat cahaya kebijaksanaan daripada Tuhannya. Aku mendapat cahaya darinya, yakni Ahamiddhi dan dia umpama sinar cahaya matahari.”

Dr Ved Prakash berpendapat perkataan Ahamiddhi bukan berasal daripada bahasa Sanskrit. Ia adalah nama asing yang lebih hampir dengan perkataan Arab iaitu ‘Ahmad’.

Mamaha

Antara sifat-sifat Mamaha seperti yang disebutkan di dalam kitab Vedas adalah:-

* “Mamaha akan menunggang unta.”

* “Mamaha akan terkenal dengan 10,000 orang pengikut.”
* “Lagu puji-pujian baru selain Vedas akan dilafazkan.”

Memang diketahui umum Nabi Muhammad menggunakan unta sebagai kenderaan baginda. Baginda menguasai kota Makkah bersama-sama 10,000 orang sahabat-sahabatnya pada tahun kelapan Hijrah. Baginda dikurniakan Quran yang menggantikan dan menyempurnakan semua kitab-kitab terdahulu.

Bagi Dr Ved Prakash, perkataan Mamaha juga bukan berasal dari bahasa Sanskrit. Apabila nama ini dikaitkan dengan sifat-sifatnya, ia menepati kisah Nabi Muhammad SAW.

Kesimpulan

Wujudkah seorang tokoh agama di dunia selama ini yang sifatnya menepati semua ciri-ciri ini? Dr Ved Prakash Upaddhayaya di dalam bukunya Muhammad in the Vedas and Puranas berkata, “Satu hakikat yang terbukti pada hari ini adalah sifat-sifat utusan akhir zaman seperti yang disebutkan di dalam Vedas, Bible dan kitab agama Buddha menepati sifat-sifat Muhammad. Hati saya begitu terangsang bagi menceritakan kebenaran ini walaupun saya tahu ianya tidak digemari oleh sesetengah pihak.”




1 comment:

wildan said...

assalamu'alaikum..
ustaz..artikel ni sangat bagus..lebih2 kalau lg ramai yg baca..kalau ada masa,sila layari blog sy..smoga allah merahmati..