Ibu mertua ku, Hajjah Esah Saedin, telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada hari Jumaat, 6 Mac 2009, pada jam 12:05 pagi di Hospital Serdang.
Beliau dilahirkan di Kampar, Perak kira-kira 72 tahun yang lalu. Hasil perkahwinan yang pertama, beliau dikurniakan tiga orang anak - Kak Zah, Abang Zizi dan Abang Lan. Manakala perkahwinannya yang kedua pula dikurniakan empat orang anak - Abang Zul, Kak Ina, Sal (isteri ku) dan Yam.
Bapa mertua ku telah pun meninggal dunia pada Julai 2003, kira-kira seminggu sebelum kelahiran anak bongsu ku, Ahmad Azri.
Hari Rabu lepas, ibu mertua ku dimasukkan ke wad CCU di Hospital Serdang kerana mengadu sakit dan sesak nafas. Aku sempat berjumpa dengannya di waktu tengahari, namun tidak dapat berbual panjang. Beliau cuma duduk di atas katil dan tidak boleh baring kerana akan merasa sakit.
Keesokan harinya, aku dimaklumkan beliau kelihatan begitu ceria dan sempat bergurau dengan kesemua anak-anaknya yang lain di sepanjang hari. Hajatnya untuk bertemu dengan Abang Lan yang telah lama tidak berjumpa tercapai jua.
Menjelang tengah malam, aku menerima panggilan telefon dari suami Kak Ina bahawa ibu mertua ku dalam keadaan nazak. Aku pun bersiap untuk ke hospital. Namun belum sempat aku menaiki kenderaan, Abang Zul menelefon dan maklumkan ibunya telah pun meninggal dunia.
Jam 1:30 pagi, aku telah pun tiba di wad CCU. Abang Zul ketika itu sedang menelefon salah seorang AJK surau bagi menguruskan jenazah ibunya. Kemudian jenazah dibawa ke rumah mayat hospital tersebut sebelum dihantar pulang ke rumahnya di Ampang dengan menaiki van jenazah.
Jam 9:00 pagi, jenazah dibawa ke surau untuk dimandikan, dikapankan dan kemudiannya solat jenazah. Seterusnya jenazah dibawa ke tanah perkuburan Kg Cheras Baru untuk dikebumikan kira-kira jam 11:30 pagi.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas beliau dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Amin.
No comments:
Post a Comment