Wednesday, December 3, 2008

Memperingati Hikmah Di Sebalik Kewajipan Tunai Ibadat Haji


Oleh Asmadi Abdul Rahman

IBADAH haji merupakan salah satu rukun dalam Rukun Islam. Allah s.w.t. telah mensyariatkan haji kepada umat Islam pada tahun ke-9 hijrah. Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ke atas setiap umat Islam yang berkemampuan untuk menunaikan haji sekali seumur hidupnya. Di dalam al-Quran, Allah menyebut tentang manfaat dan kebaikan ibadah haji kepada umat Islam.
Berikut adalah kelebihan dan manfaat fardu haji kepada umat Islam.
Allah telah menjadikan ibadah haji sebagai salah satu cara untuk menghimpun umat Islam. Allah s.w.t. menjadikan solat berjemaah sebagai cara untuk umat Islam bertemu lima kali setiap hari dalam satu kawasan yang kecil. Manakala solat Jumaat pula bertujuan mengumpulkan umat Islam dalam satu kawasan yang besar seminggu sekali. Seterusnya Allah s.w.t. menjadikan ibadah haji sebagai pertemuan agung umat Islam setahun sekali yang berlaku di Mekah.
Mengeratkan hubungan sesama umat Islam seluruh dunia. Walaupun berada beribu-ribu kilometer dari kota Mekah, umat Islam sanggup datang semata-mata untuk berkumpul dan melakukan ibadah haji. Apabila selesai, mereka akan pulang ke negara masing-masing dengan membawa syiar keagungan Islam.
Ibadah haji juga melambangkan musawah (kesamaan) sesama Muslim di sisi Allah s.w.t. Ketika menunaikan kewajipan haji, kita diwajibkan memakai pakaian yang sama iaitu berihram. Ketika itu, kita tidak dapat membezakan antara yang kaya dan miskin. Selain itu, kita juga melakukan perbuatan yang sama ketika menunaikan ibadah haji. Semua umat Islam perlu bertawaf, bersaie dan sebagainya tanpa ada pengecualian.
Ibadah haji bertujuan mengingatkan kepada umat Islam tentang peristiwa yang berlaku kepada para nabi terdahulu. Kaabah mengingatkan umat Islam kepada nabi yang telah membinanya iaitu Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Ketika mengucup Hajar Aswad terbayang Rasulullah s.a.w. yang mula-mula mengucupnya. Saie di Safa dan Marwah mengingatkan umat Islam kepada peristiwa Hajar berlari-lari mencari air untuk anaknya Nabi Ismail dan banyak lagi peristiwa lain yang boleh diingati menerusi ibadah haji.
Ibadah haji memberi peluang kepada umat Islam untuk meningkatkan ekonomi penduduk tempatan yang miskin. Ketika musim haji, penduduk Mekah akan berniaga dan secara tidak langsung membantu meningkatkan ekonomi mereka. Perkara ini telah diminta oleh Nabi Ibrahim dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Mekah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur. " (Surah Ibrahim: 37 )
Ibadah haji merupakan tarbiah atau latihan kepada umat islam supaya bersabar terhadap perkara yang tidak disukainya. Ketika menunaikan ibadah haji, kita diminta supaya tidak meninggi diri, memaafkan orang lain apabila berlaku kekasaran yang tidak disedari dan melaksanakan perhubungan baik dengan orang lain.
Ini secara tidak langsung melatih kita supaya memiliki akhlak yang baik. Selain itu kita juga perlu melatih diri supaya tidak membazir ketika berbelanja di musim haji, di samping memperbanyakkan sedekah. Ibadah haji juga melatih diri umat Islam supaya sentiasa berprasangka baik terhadap individu lain dan berdoa semoga sentiasa dipelihara oleh Allah s.w.t.
Allah s.w.t. tidak menjadikan ibadah haji ini hanya sekadar ibadah yang perlu dilaksanakan. Tetapi merupakan tanda kebesaran Islam yang mengandungi pelbagai hikmah yang perlu kita kaji dan terokai. Semoga dengan kedatangan musim haji pada tahun ini, akan memantapkan lagi perpaduan umat Islam. Seterusnya membangkitkan kembali kegemilangan tamadun Islam seperti umat terdahulu.

- ASMADI ABDUL RAHMAN ialah pensyarah Kolej Shahputra.


Sumber: Arkib Utusan Malaysia Online

No comments: