Friday, December 26, 2008

Dr Asri: 'Aku Bukan Musuh Harta' Bahasa Puisi Bukan Bahasa Politik



Oleh: ZIEMAN


PETALING JAYA: "Saya bercakap isu itu dalam bahasa puisi. Apakah mereka ingin jemput saya ke pentas untuk berbahasa politik?," begitulah reaksi spontan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin ketika diminta memberi komen tentang tindakan pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengharamkan lagu puisinya 'Aku Bukan Musuh Harta.'
Lagu puisi ini dinyanyikan oleh kumpulan Kopratasa dalam album baru "Yang Benar Tetap Benar," dan telah diedarkan oleh kumpulan Nasyeed.com pada bulan lepas.
"Mereka yang mengharamkan lirik tersebut sebenarnya tidak seiras dengan usaha memerangi rasuah yang diuar-uarkan."
"Di manakah perkataan yang kasar yang mereka maksudkan itu? Jika lirik-lirik yang tidak membangun akhlak dan kesopanan yang berbagai dibenarkan, mengapa tidak dengan puisi saya 'Aku Bukan Musuh Harta?," kata Dr Asri dalam kenyataan balas dari kediamannya di Lampeter, United Kingdom pagi ini.
Kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak stesen itu semalam menjelaskan RTM hanya meluluskan lagu berunsurkan nilai moral dan kesantunan bahasa di samping aspek teknikal yang dipersetujui oleh Jawatankuasa panel penilai.
"Lagu-lagu yang dihantar ke RTM sama ada individu atau syarikat rakaman adalah tertakluk kepada Jawatankuasa Panel Penilaian Lagu-Lagu RTM," kata RTM dalam kenyataan itu.
Sebelum ini Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Adilah Shek Omar, juga mempertahankan tindakan RTM mengharamkan lagu Dr Asri dengan berkata, lagu 'Aku Bukan Musuh Harta' nyanyian kumpulan Kopratasa itu tidak diluluskan kerana liriknya tidak sesuai dan kasar.
Berita pengharaman lagu Dr Asri heboh diperkatakan minggu lepas apabila RTM membuat keputusan mengharamkan penyiaran lagu Aku Bukan Musuh Harta. Namun stesen radio dan televisyen swasta yang lain tidak pula mengharamkan lagu ini.
Selain musykil, Dr Asri juga tertanya-tanya di mana silapnya lirik beliau yang diharamkan itu.
"Saya hairan mengapa lirik saya 'Aku Bukan Musuh Harta' digam oleh pihak berkenaan, sedangkan nilai moral dalamnya tinggi, ia tidak ditujukan kepada pihak tertentu, tetapi untuk sesiapa sahaja yang menyalahgunakan harta rakyat dan awam.
"Dalam negara kita hari ini berbagai parti memiliki kerajaan, lagu tersebut mempunyai pengajaran untuk semua."
"Jangan anda menghalang sesuatu ungkapan umum atau pengajaran am yang akhirnya orang lain akan menuduh bahawa andalah orang khusus dari yang umum atau am itu," kata Dr Asri yang kini berada di UK untuk tempoh setahun bagi cuti sabatikalnya. Katanya lagi,"Saya menulis lirik itu untuk mengingatkan sesiapa sahaja yang berurusan dengan harta awam dan rakyat. Apa ertinya perjuangan kerajaan menghapuskan rasuah jika lirik seperti itu pun diharamkan?
"Isinya umum dan untuk kesedaran semua pihak, mengapa ada yang rasa bersalah?


"Semua pihak tahu bahawa saya bukan orang politik, maka ketika saya menulis lirik saya bebas dari kepentingan kerusi atau kepartian. Mereka silap jika bertindak demikian," kata tokoh agama yang terkenal ini.
Lirik lagu 'Aku Bukan Musuh Harta' yang tiba-tiba menjadi kontroversi ini membawa maksud yang sinis dan penuh kiasan dan bahasa yang digunakan juga indah.
Difahamkan sebelum lagu ini diharamkan, terdapat ura-ura untuk menjadikan lagu ini sebagai lagu kempen untuk membenteras rasuah.
Tinjauan yang dibuat di Nasyeed.com juga menunjukkan penjualan album 'Yang Benar Tetap Benar' amat memberangsangkan kerana ramai yang ingin tahu kenapa lagu 'Aku Bukan Musuh Harta' diharamkan.
Antara lain lirik lagu 'Aku Bukan Musuh Harta' ialah "Ya telah kaya para pendusta, syarat mereka lupakan Yang Esa, harta rakyat semua disebat, harta awam semua dibekam, hukum syaitan mereka bertuhan."
Selain daripada menulis lapan lirik lagu itu, Dr Asri turut menyampaikan dua puisi bertajuk Itulah Politik Namanya dan Salah Menduga dalam album Yang Benar Tetap Benar.
Sumber: mStar

No comments: