Hari ini merupakan hari pertama persekolahan tahun 2010.
Jam 7:00 pagi aku sudah pun berada di Sekolah Kebangsaan Seri Kundang bersama anak bongsu ku, Ahmad Azri.
Segala urusan pendaftaran telah pun dilakukan pada hari orientasi murid tahun satu hari Sabtu sebelum itu.
Walau pun tinggal di Bandar Tasik Puteri yang telah pun mempunyai dua buah sekolah kebangsaan, namun Azri terpaksa ditempatkan di sekolah ini memandangkan ianya terletak di hadapan SMK Seri Kundang - tempat di mana ibunya mengajar. Jadi mudah Azri diawasi oleh ibunya.
Kakcik pula telah menamatkan persekolahannya di sini dan kini di Tingkatan Satu di SMK Seri Kundang.
Azri kelihatan tenang sahaja ketika memasuki perkarangan sekolah..tidak menunjukkan riaksi gembira atau takut dalam suasana alam persekolahan. Belum lagi bersua dengan rakan-rakan lama ketika di Pasti tahun lepas.
Sesi persekolahan bermula dengan perhimpunan di dataran sekolah terlebih dahulu sebelum dibawa masuk ke kelas masing-masing. Ucapan guru di perhimpunan tidak lama apabila hujan mulai turun...murid-murid pun bergegas keluar dari dataran menuju ke kelas sambil diawasi oleh guru.
Aku menunggu sehingga waktu rehat pada jam 10:10 pagi. Azri tidak membeli makanan kerana telah dibekalkan biskut kegemarannya - chipsmore. Aku cuma belikannya air sirap sahaja. Pada ketika itu juga aku baru sedar aku tak pernah mengajarnya menggunakan duit untuk membeli. Setiap kali apabila dia inginkan sesuatu, aku sendiri yang terus membayarnya tanpa pernah memikirkan Azri perlu belajar untuk berdikari.
Sesi persekolahan berakhir pada jam 1:00 tengahari. Azri dibawa ke sekolah ibunya untuk makan tengahari dan menukar pakaian seragamnya.
Kemudian aku pula mengambilnya dan menghantar ke Sekolah Rendah Agama An-Nur yang terletak kurang setengah kilometer dari sekolah kebangsaan.
Pada hari pertama di sekolah agama ini tertumpu kepada urusan pembayaran yuran sekolah serta pembelian buku teks, latihan dan sebagainya.
Oleh kerana guru sibuk berurusan dengan ibubapa, murid-murid termasuk Azri bebas keluar masuk kelas. Beliau hanya bermain keseorangan sahaja kerana belum lagi mendapat kawan baru.
Kelas berakhir pada jam 5:30 petang..
Azri pulang dalam keadaan ceria sekali di hari pertama di sekolah kebangsaan dan sekolah agama.